Jumaat, Februari 13, 2009

Antara 'derhaka' dan 'sokong bawa rebah'

Kita biasa terdengar ungkapan sokong membawa rebah. Dan hal itulah yang berlaku terhadap Umno sekarang. Watak-watak Patih Gadjah Mada, pembesar yang membodek, mengampu raja dan pembesar yang membunuh Hang Nadim (dalam kes Singapura Dilanggar Todak), melalui titah sultan telah menjalar ke dalam jiwa pemimpin Umno Hadhari sekarang ini.
Sebenarnya, watak-watak derhaka itu, kalau derhaka sekali pun, derhakanya bersebab. Dan, 'derhaka' bersebab itu boleh lagi didebatkan. Dan, memang sentiasa ada rasional dalam derhaka mereka itu.
Misalnya, Hang Jebat asalnya setia kepada raja dan beliau derhaka disebabkan saudaranya menjadi mangsa fitnah. Dan istana pula tidak menyiasat kes fitnah itu dengan seadil-adilnyanya.
Laksamana Megat Seri Rama, dalam kes Sultan Mahmud Mangkat Dijulang asalnya seorang yang sangat setia kepada tuannya dan derhakanya bersebab; lantaran isterinya dibunuh tanpa usul periksa raja setelah ada campurtangan, hasutan pembesar lain. Dalam hal ini, sultan haruslah berhati-hati kerana setiap penyokong Umno itu pun bukannya benar-benar setia kepada raja.
Sokongan mereka ke atas raja adalah sokong membawa rebah. Mereka ada niat jahat dan bersifat cemburu ke atas pembesar yang lain. Lalu, pembesar yang kuat cemburunya ini akan membenamkan jarum fitnah ke atas pembesar lain; menghasut raja-raja untuk mengambil tindakan ke atas seteru mereka dalam kalangan pembesar yang baik pekerti dan bijaksana itu.
Pada zaman sekarang, titah raja-raja dalam Parlimen ditulis oleh pembesar-pembesar yang bukannya arif. Tiba-tiba, apabila pembesar yang baik membangkitkan persoalan ke atas titah raja, maka bangkitlah pembesar jahat ini untuk menyelar tindakan itu sebagai derhaka adanya.
Masih saya teringat kisah arwah Dato' Fadhil Noor dalam Parlimen dahulu ketika ucapan beliau disifatkan sebagai menderhaka kepada titah Yang Dipertuan Agong dalam Parlimen. Lalu, beliau menjawab..
"Kita semua tahu bahawa yang menulis titah Yang Dipertuan Agong adalah Umno sendiri. Jadi, titah tuanku sebenarnya adalah hasil ucapan Umno juga. Janganlah bangkit untuk mengampu raja kalau tak reti cara nak mengampu," demikian sindiran Ustaz Fadhil ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang ketika itu.

Umnokah yang menjadi 'dalang' raja?
Jika demikian, tidaklah mustahil bahawa ucapan-ucapan raja ini disusun oleh Umno sendiri. Mungkinkah titah raja memecat YB Nizar itu pun hasil bikinan Umno sendiri? Kemudian.. apabila Pakatan Rakyat sanggah, maka dengan tiba-tiba selaut sengketa telah terhempas ke serata negeri melalui demo-demo anjuran Umno.
Jika benarlah andaian dan telahan ini.. oh, alangkah bedebahnya Umno itu.
Umnolah perosak raja-raja Melayu sehingga dengan rosaknya raja-raja Melayu, maka rosaklah rakyat secara keseluruhannya. Jangan salahkan istana 100 peratus, salahkan Umno 300 peratus dalam hal ini.
Dan bukanlah derhaka itu bermaksud dengan niat mahu merampas kuasa sultan. Antara 'penderhaka' dan 'penyokong bawa rebah', siapakah yang paling merbahaya? Yang akhirnya menjatuhkan sultan melalui sokongannya itu, golongan pengampu inilah sebenarnya. Tetapi, golongan pengampu ini selalunya tidak kelihatan merbahaya.

Pengasas Umno 'penderhaka'?
Dalam sudut pandang lain, lazimnya, derhakanya anak Melayu itu kerap dihubungkait dengan Hang Jebat. Sebenarnya, bukan hulubalang itu saja yang pernah 'menderhaka' kepada sultan. Ada ramai lagi penderhaka. Onn Jaafar pernah derhaka terhadap Sultan Ibrahim di Johor. Beliau dipecat dari istana pada tahun 1920, lalu membawa diri ke Singapura kerana kerana membidas baginda berkaitan isu harta.
Tetapi, itu perkara biasa. Onn Jaafar bukan tulen anak Melayu. Beliau berdarah Turki. Jadi, jika dia menderhaka sekali pun, hal itu mungkin boleh dimaafkan kerana beliau bukannya tulen Melayu. Menurut sahibul riwayat, beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar untuk 'diMelayukan'.
Tapi, Onn Jaafar akhirnya amat menyedari kelemahannya yang sukar berbahasa Melayu dengan fasih. Beliau berlatih berbahasa Melayu dan akhirnya dapat berpidato dalam bahasa Melayu dengan menghimpunkan 41 buah pertubuhan Melayu di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur sehingga tertubuhnya Umno.
Cucunya, bernama Hishammuddin Tun Hussen lebih-lebih lagi menderhaka kepada datuknya, Onn Jaafar kerana telah menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa bukan Melayu atau ringkasnya PPSMI. Sedangkan datuk beliau berhempas pulas belajar bahasa Melayu guna menyatukan orang Melayu untuk menentang Malayan Union.
Terlanjur menyentuh nama Onn Jaafar, kita tentu pernah terdengar nama Dato' Abdul Rahman Andak. Penasihat Sultan Johor ini juga turut dibuang hasil bisikan British ke atas Sultan Ibrahim. Selagi wujudnya Abdul Rahman Andak, selagi itulah Johor ini tidak boleh bertapak kerana Abdul Rahman Andak sangat bijak dalam mengenal tipu muslihat British.
Abdul Rahman cuba menyekat satu percubaan British yang mahu mewujudkan jawatan Penasihat Am Inggeris di Johor sebagai penasihat sultan. Beliau menyedari bahawa dengan 'nasihat' inilah, nantinya seluruh isi negeri Johor itu akan dirosakkan.

Umno bersikap seperti British
Syahadan.. penyakit Umno ini adalah jangkitan daripada perangai British dahulu. Rakyat diminta berhati-hati lantaran rebakan penyakit ini boleh menjahanamkan sesebuah negeri.
Umno sangat mengetahui bahawa isu derhaka ini boleh mengaut simpati rakyat ke atas mereka sebagai (kononnya) pejuang yang tulen lagi sejati bagi pihak umat Melayu. Sekali gus, isu menderhaka ini boleh dipergunakan, diperalatkan, diperkakaskan dan dimanipulasikan sehingga menyebabkan watak bersih Pakatan Rakyat semakin suram, gelap dan hitam pekat adanya.
British misalnya telah mengaku tidak akan masuk campur dalam urusan agama Islam dan Hal Ehwal Istiadat Melayu. Namun, pada akhirnya mereka sendiri boleh membuang sultan. Umno pun begitu juga. Sedikit demi sedikit, mereka cuba menunjukkan bahawa merekalah yang paling setia.
Tapi, nama institusi raja-raja Melayu menjadi buruk dan membusuk pun adalah berpunca daripada mereka juga.
Dalam kes British membuang Abdul Rahman Andak di Johor melalui kuasa sultan, hal ini mungkin sama dengan cara Umno membuang Nizar melalui kuasa istana.
Ringkasnya, yang paling merbahaya dalam kes ini ialah golongan yang mengambil kesempatan membuat rampasan kuasa, lalu berselindung atas nama istana. Sikap ini tidak jujur, hipokrit, bacul dan penakut. Mereka boleh membawa lari dua, tiga Adun lalu memperalat istana dan memperkakas kalimat derhaka guna merebut harta ghanimah, harta rampasan perang.
Apabila Umno mahu merebut jawatan Menteri Besar, mereka sanggup mengguna istilah derhaka kepada musuhnya jika enggan berundur daripada jawatan Menteri Besar.
Dan, ketika Karpal mengambil tindakan menyaman istana, maka Umno pun semakin ganas menyerang. Nampaknya.. Umno akan menggunakan setiap inci tindakan Pakatan Rakyat untuk memperalat kalimah derhaka ini dengan dua tujuan nawaitunya.
Pertama, dengan menuduh Pakatan Rakyat derhaka, maka menjadilah Umno sebagai parti suci tanpa dosa atau wali keramat. Kedua, dengan menuduh Pakatan Rakyat jahat, maka harapan mereka.. akan hitamlah watak putih Pakatan Rakyat ini buat selama-lamanya.
Sebenarnya, bukannya ikhlas sangat Umno mempertikai tindakan Karpal itu. Kebetulan peguam veteran itu daripada Pakatan Rakyat, maka inilah masa yang terbaik untuk membelasah seteru politik mereka dengan hebatnya, sekali gus dengan harapan, akan terserlahlah wajah putih kesetiaan Umno kepada istana.
Sampai bilakah umat Melayu akan terus diperbodohkan Umno tidaklah diketahui. Tetapi, kita tahu sangatlah.. bahawa dengan mengendong isu derhaka ini, Umno telah mendapat dua kekuatan tenaga baru.
Jangan-jangan.. raja-raja Melayu sendiri pun berasa malu dengan tindakan Umno ini. Mana tahu kalau-kalau mereka pun tidak sukakan Umno. Tetapi, bagaimanakah mereka mahu berbicara dan kepada siapakah mereka mahu berkongsi duka nestapa ini?

Khamis, Februari 12, 2009

Dongeng Orang Tua-Tua

Ya ampun baginda Tuanku, hamba menulis surat ini kepada tuan hamba agar ia dapat dibaca oleh anak cucu-cicit kita semua. Hendaknya apabila kita semua berada di alam baka nanti, maka anak cucu-cicit kita akan membaca kembali surat hamba kepada tuan hamba.Ya ampun! Ya ampun baginda, hamba telah mendengar surah dongeng labun tuan hamba. Hamba bersama teman dan sahabat dengan syok lagi tawadhu' melopong ternganga apabila tuan hamba membuka mulut.
Apabila tuan hamba bercakap bahawa kebenaran hanya diketahui Allah, maka meleleh air mata hamba hingga ke lohong paha. Tidaklah pernah hamba melihat satu makhluk tuhan yang begitu jujur bersilat lidah. Inilah agaknya rahmat Yang Maha Esa yang telah dikurniakan ke atas tuan hamba. Tidak pernah hamba terlihat seorang syadu, seorang sufi atau seorang dukun dapat membelit seperti tuan hamba.
Cakap tuan hamba di sidang itu benar-benar melainkan semua tidak benar belaka. Ya ampun baginda Tuanku, hamba juga turut berasa gundah-gulana apabila terdengar berita kematian Puteri Mongolia. Hamba bertambah sedih lagi sayu apabila hamba diberitahu bahawa puteri ini adalah gundek simpanan Yang Teramat Mulia Raja Muda yang bakal menjadi raja sekalian rakyat jelata.
Hamba juga mendengar khabar berita tentang betapa cemburunya permaisuri ketika mengetahui bahawa ada gundek yang lebih disayangi daripada baginda ratu. Telah tersebar ke seluruh Melaka tentang api murka yang keluar terpancar dari dada tuan permaisuri Raja Muda. Ya ampun baginda tuan, api murka permaisuri ini bukan datang secara tiba-tiba. Adalah menjadi dongeng rakyat Melaka setiap permaisuri yang akan naik ke atas takhta, maka badannya wajib diukur dan dikira. Telah tersebar ke pelosok kampung dan kota, telah diketahui rakyat jelata tentang berita susuk permaisuri Raja Muda melebihi seekor anak gajah simpanan Tun Bendahara.
Adalah menjadi perangai dan sifat anak-anak muda Melaka membuat lawak dan jenaka terhadap badan permaisuri Raja Muda. Dari apa yang hamba menerima berita, inilah punca yang menimbulkan angkara murka. Permaisuri Raja Muda telah mengetahui betapa ramping, langsing lagi ranggi pinggang Puteri Mongolia.Mengikut yang empunya cerita, cemburu melimpah marah bertambah. Mengikut kata yang empunya surah, seorang Tamil dari negara atas angin telah datang bersumpah di hadapan Balai Rong Seri bersama mudim dan pari-pari bahawa si Tamil legam itu mengetahui bahawa Raja Muda kita berkemudi di buritan kapalnya. Ya ampun baginda Tuanku, sahihlah dongeng berita Raja Muda "makan di luar dan suka makan di dalam". Makan di depan, makan di belakang telah menjadi nikmat pilihan Raja Muda kita.Ya ampun baginda, "makan depan, makan belakang" ini adalah surah yang dipungut dan dikutip oleh si Tamil dari mulut tuan hamba sendiri. Ya ampun tuan hamba, bukanlah niat hamba untuk membuat fitnah, jauh lagi untuk mencerca nama baik tuan hamba. Niat hamba untuk memberitahu seantero negara bahawa apa yang tuan hamba suarakan di sidang itu hanyalah dongengan karut semata-mata.
Adalah hamba berjanji kepada rakyat Melaka untuk melaporkan duduk perkara sebenar. Adalah juga tanggungjawab hamba bukan menista dengan berita. Hendaklah tuan hamba tahu bahawa tidak ada seorang pun rakyat jelata yang mempercaya apa yang tuan hamba butirkan itu benar melainkan semuanya bukan benar semata-mata.
Kisah hikayat Puteri Mongolia ini berpanjangan hendak-hendaknya. Adalah menjadi tabiat baik rakyat Melaka mereka amat suka melihat tuan hamba masuk sekali lagi ke rumah pasungan. Tidaklah busuk hati nurani mereka melainkan mereka ingin tahu duduk perkara sesahih-sahihnya.
Ya ampun baginda tuan hamba, rakyat Melaka dan saentaro belantara dari Melaka ke Majapahit, dari Jambi hingga ke Pasai telah mendengar cerita tuan hamba menjadi kaya-raya kerana membeli dua bahtera. Apakah ini dongeng cerita hamba sendiri tidak terkata-kata hanya tuan hamba tahu duduk perkara.
Mengikut kisah yang empunya ceritera, mengikut surah sumpah si Tamil legam, tuan hamba dilantik menjadi khadam yang kanan. Masuk istana keluar istana tanpa ditegur tanpa dilarang. Bukanlah rahsia rakyat Melaka untuk berdendam mencari mangsa. Mengikut surah sumpah si Tamil lagi, tuan hamba menjaga gundek-gundek Raja Muda. Mengikut tuan yang empunya ceritera, tuan hamba juga berligar ke kampong berligar ke kota mencari anak-anak dara untuk dijadikan gundek-gundek istana.
Ya ampun baginda Tuanku, biarlah hamba meneruskan ceritera tentang permaisuri yang jatuh murka. Telah didengar rakyat Melaka tentang kisah permaisuri kita yang dahulunya seorang mak janda. Bergundek ke hulu bergundek ke hilir membuka paha. Ya ampun, telah menjadi berita atas arahan siapakah Puteri Mongolia musnah derita. Telah diketahuilah rakyat Melaka betapa permaisuri cemburu tersangat bagai gajah kena penyengat. Telah diketahui juga rakyat Melaka bahawa Raja Muda sering berduka berkongsi katil memeluk seekor unta walhal paduka bemimpi gundek langsing berambut panjang bukan permaisuri baginda berambut kontot.
Ya ampun, tuan hamba dikatakan amatlah bergeliga mencari untung membeli bahtera. Biarlah hamba menyampai berita. Dari Naning hingga ke Melaka, rakyat tahu duduk perkara. Jangan cuba dibodohkan, jangan cuba dialpakan, rakyat sudah faham membaca warta berita.
Tidak perlu bergelap, tidak perlu bersuluh pelita, kisah tuan hamba membeli dua bahtera dengan duit emas berkantung-kantung diketahui rakyat jelata.
Al-kesah tuan empunya cerita, permaisuri telah membadak gegak gempita, lagi marah lagi murka maka diarah puteri disula, diseksa untuk menamatkan semua berita. Badan meletup rambut terbakar agar tidak diketahui siapa empunya benih. Dari atas angin sampailah berita, dari balai rong hingga ke rakyat jelata, semua ingin bertanya janin ini empunyanya siapa?Ya ampun baginda, adalah hamba mendengar berita amat sahih lagi nyata tentang Raja Mongolia amat besar amarahnya tidak dapat dikata apa-apa lagi. Ya ampun, adalah hamba mendengar berita si Tamil ditemui sudah. Dia bersyair lagi bermadah menunggu masa untuk mendedah sekali lagi.
Ya ampun baginda Tuanku, adalah hamba mendengar berita lagi sahih lagi nyata tentang Raja Muda yang akan naik tahta akan disula rakyat Melaka.
Beginilah berakhirnya surat hamba kepada tuan hamba. Ya ampun, tidaklah ada apa-apa lagi yang hendah hamba katakan. Hendaknya diketahuilah oleh cucu-cicit kita nanti tentang kisah murka permaisuri yang gedempol dengan puteri manis bistari, kisah Raja Muda yang takut bini, kisah gundek bertukar ganti.
Maka dibuatlah rakyat Melaka pantun enam kerat untuk ingatan turun-temurun:
Tam tam tun
Tak perlu berpantun
Dam dum dah
Tak perlu bermadah
Sidang baginda penuh dusta.

Hajunik.com: Easy feedback to your post with Reactions

Hajunik.com: Easy feedback to your post with Reactions

UMNO ? Masih relevankah ia?

Agak lama saya tidak menulis di ruangan blog ini. Asyik mengambil artikel dari orang lain sahaja. Maaf kiranya ada pembaca atau pemerhati setia blog ini yang disajikan dengan artikel daripada Malaysia kini, Harakah dan Mmutarligat. Sedang mereka mahukan tulisan saya sendiri.
Situasi Politik di Negeri kelahiran saya ini, memotivasikan untuk saya menulis dan meluahkan rasa ketidakpuasan hati yang sedang meluap-luap ini. Jika dilambatkan isunya sudah tidak panas. Maklumlah Melayu, yang mudah sejuk.
Mari kita renung sejenak dan lihat kembali kepada kepala tajk di atas ini, bila terkenangkan peristiwa 8 Mac 2008, Tsunami Politik tanah air juga berlaku di negeri kelahiran saya ini. Dengan tumbangnya kerajaan korupsi UMNO+BN disini menunjukkan rakyat mahukan perubahan di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Satu persatu YB-YB UMNO + BN rebah di tangan rakyat yang mereka enjak-enjakkan selama ini. Ini menandakan rakyat sudah muak dengan dakyah-dakyah UMNO + BN.
Gula-gula UMNO + BN sudah tidak berkesan lagi pada tarikh keramat yang menjadi mimpi ngeri buat kaum kerabat mereka. Kuasa rakyat lima tahun sekali itu maha hebat dan lebih dahsyat daripada tsunami yang melanda dunia. Rakyat inginkan sebuah kerajaan yang lebih telus dan adil dan bukannya kerajaan yang hanya mahukan kemajuan dan memenuhkan kantong anak bini dan kroni ini.
Selepas peristiwa 8 Mac itu, kita lihat berlakulah siri-siri pembalasan dendam terhadap rakyat oleh puak-puak UMNO + BN ini. Berlakunya diskriminasi dan penindasan yang terancang oleh kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri. Berlakunya provokasi sehinggalah rampasan kuasa yang berlaku di negeri ini.
Dengan bangga Tok-Tok menteri UMNO + BN melaung-laungkan di media-media arus perdana bahawasanya rakyat telah memberi mandat dan kepercayaan kepada mereka untuk memerintah semula. Meraka juga berjanji akan membaiki segala kelemahan-kelemahan dan ketidakpedulian mereka selama ini.
Dengan muka tak malunya mereka mengatakan rakyat yang mahukan UMNO + BN semula. Dengan rakusnya mereka merampas hak rakyat majoriti yang inginkan perubahan. Adakah mereka meminta izin daripada rakyat? Adakah UMNO + BN menjaga hati dan perasaan rakyat? Hak rakyat mereka rampas sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan perasaan dan hati rakyat majoriti. Adakah ini dikatakan ingin membaiki segala kelemahan-kelemahan dan ketidakpedulian mereka selama ini. ReLevankah UMNO + BN ?
Sedarlah wahai TOK- Tok Menteri, rakyat majoriti masih belum mahukan anda. Yang mahukan anda hanyalah ADUN-ADUN yang PEMBELOT. PEMBELOT kepada kerajaan yang sah disis undang-undang. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat majoriti. PEMBELOT inilah yang ingin kembali kepangkuan anda, sedangkan rakyat majoriti tidak pernah ingin kembali kepada anda. PERlu lah diingat negeri ini bukan negeri UMNO + BN ini negeri rakyat.
PEMBELOT ini bukan sahaja kepada parti bahkan kepada Negeri, Agama dan Bangsa. Jikalau ditakdirkan PEMBELOT-PEMBELOT ini menjadi Menteri Perdana, musnahlah negara yang tercinta ini seperti mana musnahnya negeri yang tercinta ini di tangan mereka.
Jika direnungkan kejatuhan Kesultanan Melaka
Jika dilihat jatuhnya Rejim Saddam Hussin di IRAQ
Jika dilihat tumbangnya Empayar UTHmaniah di Turki
Jika diamati musnahnya Dinasti MING, HAN, Qing di China
Dalang dan watak utamanya adalah SI PEMBELOT!!!!!!!!!!
PEMBELOT inikah yang dianggap wira oleh UMNO + BN, PEMBELOT inikah yang dianggap pembela rakyat. SI PEMBELOT inikah juga dianggap penyelamat Survival politik UMNO + BN.
Dengan Bangganya Pengerusi BN Negeri berkata, kita telah ada lebih majoriti DUN di Perak untuk membentuk kerajaan baru disini. Sedarlah wahai UMNO +BN, PEMBELOT ini tidak akan puas selagi nyawa masih dibadan. PEMBELOT-PEMBELOT ini mungkin akan BELOT kembali seperti PEMBELOT si BOTA.
Ingatlah PEMBELOT akan BELOT semula, oleh itu berhati-hatilah dengan si PEMBELOT.

Relevankah UMNO + BN mengambil si PEMBELOT
Renungkanlah.

Selasa, Februari 10, 2009

Siapa Penderhaka Sebenarnya??????????

Malaysiakini melaporkan hampir seribu orang ahli pemuda Umno dan pertubuhan bukan kerajaan berkumpul di Padang Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil dalam apa yang didakwa sebagai perhimpunan menyokong Sultan Perak.
Utusan Malaysia yang dimiliki Umno dan Bernama yang diterajui Dato' Seri Anuar Zaini (yang diketahui peranannya dalam pergolakan politik Perak) mendakwa perhimpunan itu dihadiri lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum.
'Perhimpunan haram' yang berlangsung selama satu setengah jam itu tidak diganggu polis. Malah demonstrasi jalanan itu diadakan hanya beberapa hari selepas beberapa pemimpin Umno mendakwa BN tidak akan menggunakan kaedah 'demonstrasi jalanan' bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di Perak.
Seperti biasa, orang yang menjadi hero kepada bantahan anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno negeri ini bersama BN Perak ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Khairy disertai Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Padzi Paharuddin dan Ketua Pemuda MIC, G. Shamugavelu.
Pemimpin Umno dan BN yang berucap pada 'perhimpunan haram' itu mendesak supaya tindakan diambil terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang dilaporkan menyatakan hasratnya menyaman Sultan Azlan Shah.
Mereka turut mendesak bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menghentikan segala tindak-tanduk 'menderhakai' titah Sultan Perak.
Drama itu disudahi kemuncak dengan gimik kesediaan berarak ke kediaman rasmi MB Perak bagi 'menghalau' Mohammad Nizar dari situ.
Malah Khairy seperti kebiasaan beretorik kononnya pemuda Umno akan menghalang percubaan Nizar dan anggota exconya untuk ke pejabat mereka di Bangunan SUK Perak.
Khairy juga berikrar untuk kononnya mempertahankan institusi beraja hingga 'ketitisan darah yang terakhir'.
Begitulah hebatnya Khairy dan Pemuda Umno beretorik. Seperti merekalah orang yang paling layak mempertahankan Raja-raja Melayu.
Cuma kita ingin bertanya, jika keengganan Nizar untuk melepaskan jawatannya sebagai MB dianggap 'menderhaka' kepada sultan, bagaimana pula dengan keengganan pemimpin Umno Perlis dan Terengganu, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Dato' Seri Idris Jusoh mentaati perintah Raja dan Sultan, 10 bulan lalu?
Pastinya kita masih belum lupa bagaimana Shahidan dan Idris dengan sokongan Umno Pusat khususnya Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi membantah calon MB istana.
Malah perhimpunan membantah keputusan istana diadakan di dua negeri terbabit selama beberapa hari. Di Terengganu, satu sepanduk yang dibawa penyokong Idris yang juga Ketua Perhubungan Umno negeri menyifatkan istana sebagai 'natang' (binatang).
Selantang-lantang Karpal Singh tidak sampai ke peringkat menyamakan istana dengan haiwan.
Mengapakah pada waktu itu tiada istilah 'derhaka' terkeluar daripada mulut pemuda Umno, apatah lagi yang menyokong tindakan derhaka itu tidak lain tidak bukan ialah Presiden Umno yang juga bapa mentua Khairy!
Sejarah negara juga memperlihatkan bagaimana institusi istana pernah dipijak dan dihina Umno. Lihat sajalah krisis Perlembagaan yang berlaku pada 1983 apabila perhimpunan-perhimpunan besar dianjurkan Umno untuk berhadapan pihak istana.
Bagaimana pula dengan episod pindaan Perlembagaan bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu pada awal dekad 90-an. Bukankah Utusan Malaysia, akhbar yang dimiliki Umno telah menerajui kempen menghina Raja-raja Melayu pada waktu itu?
Setelah sepuluh bulan episod penderhakaan berlaku di Perlis dan Terengganu, tiada sebarang tindakan diambil oleh Umno untuk menghukum sipenderhaka. Shahidan terus kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno negeri walaupun terlepas jawatan Menteri Besar.
Idris Jusoh diberi habuan sebagai Pengerusi MARA manakala sebahagian Adun Umno Terengganu yang bersama Adun Ajil, Rosol Wahid membantah calon MB pilihan istana, kini menjawat Exco Kerajaan Negeri.
Jelaslah bahawa Umno sebenarnya 'parti munafik' yang memperalatkan istana. Ketika kedudukan Umno dan BN kukuh, istana diinjak-injak golongan penderhaka ini. Apabila pengaruh Umno mula pudar dan orang Melayu mula meninggalkan parti yang dipenuhi kurap rasuah dan penyelewengan itu, Umno cuba berselindung di sebalik pagar istana dan berpura-pura menjadi pembela institusi Raja.
Jika para pemimpin Umno menganggap hasrat Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak sebagai 'menderhaka', apakah gelaran paling layak untuk diberi kepada Umno yang bertanggung jawab menghapuskan imuniti Raja-raja dan membolehkan mereka disaman di mahkamah terbuka? _