Jumaat, Februari 20, 2009

Sejarah Penderhakaan Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - Para pemimpin Umno-BN dan para penyokong fanatiknya mendakwa para pemimpin serta para penyokong Pakatan Rakyat (PR) menghina Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kerana enggan menerima pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru pada 4 Februari lalu.

Apatah lagi, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh Sultan Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mahu menyaman Sultan Azlan Shah (walaupun tidak dipersetujui pemimpin PR yang lain) dan BN.

Ekoran itu, demonstrasi demi demonstrasi diadakan oleh Umno-BN dan penyokongnya di seluruh negara dengan pelbagai sepanduk mengecam Nizar dan Karpal. Karpal sendiri menghadapi 84 laporan polis terhadapnya. Beliau segera dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.

Cepat sungguh Polis Diraja Malaysia bertindak atas laporan polis terhadap pemimpin pembangkang sebaliknya para pemimpin BN yang memang 'penjenayah' dan 'perompak' harta rakyat, laporan polis itu entah ke mana lesapnya!

Sikap hipokrit dan 'double-standard' Umno terserlah apabila mereka turut turun ke jalan raya berdemonstrasi membantah ketegasan pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu di Perak walaupun mereka juga yang mengatakan demonstrasi bukan budaya kita.

Nampaknya, jika dilakukan oleh mereka, demonstrasi jalanan tersebut tidak menjadi satu kesalahan. Karpal sendiri mempertikaikan perkara ini. Katanya, demonstrasi Pakatan Rakyat dihalang, tetapi demonstrasi Umno-BN dibenarkan walaupun tanpa permit.

Menantu kesayangan Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin juga kini mahu menjadi jaguh dengan mengecam Nizar dan Karpal dalam demonstrasi jalanan yang ditajanya. Beliau turut meminta penderhaka dihalau dari bumi Perak.

Nampaknya, Khairy mudah lupa kerana dahulu beliau juga yang menganggap para demonstrator jalanan adalah monyet. Tetapi, sekarang kerana mempertahankan kerajaan haram di Perak, beliau sanggup menjadi monyet.

Semua orang tahu ini hanyalah sandiwara Khairy sahaja untuk meraih sokongan dalam pertandingan memilih Ketua Pemuda Umno dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac nanti.

Demonstrasi bukan budaya kita. Bagaimanapun, ia menjadi budaya murni dan halal jika menyokong kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN!

Bandingkan dengan demonstrasi di Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu. Tiada satu pun kain rentang oleh penunjuk perasaan berbunyi kasar serta menghina Sultan Perak dan Raja Muda.

Apa yang terpampang hanyalah ayat "Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan DUN Perak" dan "Menuntut Bubarkan DUN, Kembalikan Kuasa Rakyat".

Nizar menderhaka? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Azlan. Tetapi, tidak menggunakan perkataan tidak bersetuju. Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan "Sembah patik sembah derhaka."

Bukannya beliau menderhaka seperti yang ditafsirkan oleh akhbar arus perdana kroni kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. "Sembah derhaka" itu telah dijadikan isu, sedangkan selama ini pemimpin Umno yang kerap menderhaka kepada Sultan. Kepada Allah SWT pun mereka menderhaka, apatah lagi kepada Sultan yang juga manusia ciptaan Allah.

Nizar enggan meletakkan jawatan kerana jawatan dan kerajaan pimpinannya dirampas secara tidak bertamadun oleh pemimpin kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. Beliau dan kerajaan tidak dikalahkan, tetapi dinafikan secara haram menerusi rampasan kuasa yang sebenarnya memalukan Umno-BN.

Mana mungkin seorang yang bermaruah dan dipilih oleh rakyat mahu tunduk pada perbuatan tidak bermaruah dan penuh kehinaan? Siapa sahaja yang bermaruah akan mempertahankan diri jika dianiayai.

Berkaitan dengan isu di Perak ini, Umno-BN cuba menggambarkan imej buruk Pakatan Rakyat, iaitu tidak mendengar titah raja. Sejak bila pula Umno-BN begitu taat setia kepada raja dan menjadi pembela berani mati?

Umno biadap pada Raja-raja Melayu

Ingin ditanya, siapakah yang terlebih dahulu derhaka kepada raja? Kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN sudah lupa siapa yang menentang dan menghina Sultan Terengganu (yang juga Yang di-Pertuan Agong) dalam pemilihan Dato? Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu pada bulan Mac tahun lalu?

Cepatnya Umno-BN lupa pada demonstrasi oleh penentang pelantikan Ahmad itu? Ia adalah atas arahan Abdullah sendiri. Sehingga kini, langsung tiada siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.

Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar.

Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku.

Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ?ketegangan? itu adalah seperti ?Kami Nak Idris, Natang? (binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.

Perkataan ?Natang? itu adalah dialek Terengganu yang bermaksud 'Binatang?. Ia ditujukan kepada siapa? Adakah kepada pihak Istana Terengganu atau Raja-raja Melayu yang menjadi sasaran emosi pemimpin serta penyokong tegar Umno/BN Terengganu? Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat Ahmad Said yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal.

Umno Terengganu yang diketuai Idris dan Rosol Wahid memprotes secara terang-terangan watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui MPPR. Sehingga kini, Abdullah tidak dibicarakan, apatah lagi dijatuhi hukuman setimpal. Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia sudah menyedari bahawa Umno-BN yang sebenarnya adalah ?penderhaka? bertopengkan agenda perjuangan orang Melayu.

Annuar Musa (sekarang Tan Sri) sudah lupa atau berpura-pura lupa bahawa pada tahun 1993 beliau sanggup berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon janggus sebagai Sultan Kelantan, sedangkan Sultan sebenar masih ada.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Mohd Taib (juga sekarang Tan Sri) ketika menjadi Menteri Besar Selangor juga lupa beliau pernah melarikan puteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin, yang lebih dikenali sebagai Ku Yah.

Lupakah bahawa Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.
Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan, malah buat kali pertama selepas kemerdekaan, pemimpin kerajaan yang dikuasai Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum anjuran Umno itu telah menyebabkan raja dipandang hina oleh masyarakat awam.

Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah.Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.

Seterusnya, pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.

Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.

Jadi, sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983. Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato? Mahfuz Omar membantah keras rampasan kuasa di Perak ini walaupun tidak hairan jika ada rasuah RM50 juta untuk membeli ADUN PR kerana rasuah memang sudah menjadi amalan pemimpin Umno/BN.

Oleh kerana Umno-BN merampas kuasa secara yang disifatkan oleh pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai ?rompakan di siang hari yang terang-benderang', Mahfuz tegas mengatakan ada dua buah kerajaan haram di dunia sekarang. Pertama, katanya, kerajaan haram laknatullah Israel dan kedua, kerajaan haram BN di Perak.

Adun 'lompat' tidak berani pulang ke kawasan

Oleh kerana berkuasa secara haram, menurut Setiausaha Politik Nizar, Misbahul Munir Masduki, maka Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak berani menjenguk kawasan masing-masing.
"Bagaimana mereka boleh berkata mahu berkhidmat kepada pengundi sedangkan langsung tidak berani pulang ke kawasan masing-masing? Mereka tahu mereka telah mengkhianati pengundi,"tambah Misbahul.

Sebab itulah mereka takut untuk menjenguk kawasan. Para pengundi mereka juga sedang menunggu dengan kasut,? jelas beliau secara berseloroh dalam satu ceramah di Kuala Lumpur baharu-baharu ini.

Tambah beliau, jika hasrat mengadakan pilihan raya semula dan tandatangan referendum rakyat Perak gagal, krisis yang berlaku diharap akan berterusan sehingga tiga kerusi Dun terbabit dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan.

Dilaporkan bahawa Speaker Dun Perak, V Sivakumar enggan menerima Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dan enam orang Exco baharu kerana pelantikan mereka tidak mengikut Perlembagaan. Dalam perkataan lain, mereka adalah pemimpin kerajaan haram!
Namun, sikap 'double-standard' serta tidak tahu malu pemimpin Umno terserlah apabila Dr Zambry membantah tindakan Sivakumar itu. Katanya, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Dun terlebih dahulu.

Tahu pula mahu membawa ke mesyuarat Dun. Semasa mahu merampas Perak pada 4 Februari lalu, tidak pula mahu menunggu mesyuarat DUN untuk mendapat undi tidak percaya terhadap Nizar. Inilah sikap Umno yang tidak bertamadun seperti lanun!

Walaupun akhirnya bersetuju keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar dan menyerahkan semula kenderaan rasmi, Nizar dan barisan Exconya akan menjelajah seluruh negeri Perak (setiap Dun) untuk memberi penjelasan.

Menurut Misbahul lagi, Sultan Azlan dikhabarkan berdukacita atas kemarahan rakyat baginda. Sepatutnya baginda bergembira ketika menyambut perayaan Jubli Perak memerintah negeri Perak. - azm_

Rabu, Februari 18, 2009

Parti Kroni Menantu Bersatu (PKMB)

Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 1980-an dahulu. Ia adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ia merupakan dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrem.Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan, banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat milik awam. Banyak syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.

Kaum pemodal meleleh air liur apabila melihat syarikat-syarikat air, elektrik, pos, telefon, penerbangan, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.

Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat ini diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksimum. Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.Khidmat untuk orang ramai ialah syahadah untuk semua syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan "khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai". Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada semua mereka.

Tiba-tiba Bapak Wawasan melancarkan skim cepat kaya pada tahun 1980-an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, bekalan air, khidmat pos, hospital, Taman Negara dan jalan raya – semua ini contoh syarikat dan harta orang yang diagih-agihkan olehnya kepada kaum kerabat dan kroninya. Inilah skim cepat kaya Bapak Wawasan yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Pada tahun-tahun itu, ketika Bapak Wawasan masih di takhta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi taukeh gedung-gedung perniagaan. Kita mendengar Mat Drebar Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air. Semua harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk dijadikan milik peribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni.

Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.

Hasilnya di zaman Bapak Wawasan banyak lanun dan perompak menjadi kaya-raya.

Bayangkan puluhan puluh tahun syarikat dan harta ini cuba dibangunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa. Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya perkhidmatan pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara. Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka, jalan raya dan landasan keretapi dibuat.

Berapa bilion ringgit pelaburan telah dicurahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini? Dalam sekelip mata sahaja semua harta ini dirompak oleh Bapak Wawasan. Harta-harta milik kita semua ini dengan begitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni. Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar penswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.

Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom? Tidakkah kita berasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar?

Tidakkah kita berasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika Syarikat? Tidakkah kita terganggu apabila syarikat telefon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea Selatan dan Australia?

Dasar penswastaan telah berjalan lebih 20 tahun. Porak-peranda hasil pelaksanaan dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung "menipu" untuk membuat duit. Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang "tidak bermutu" tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar. Jika tidak ada duit, maka jawabnya kita dapat rawatan lekeh atau tidak ada rawatan langsung.

Lihat pula berapa banyak jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan tarifnya saban tahun. Telefon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat-syarikat swasta ini.

Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung, keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Apabila syarikat ini diswastakan, apabila ada untung, maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini. Inilah bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.

Anakanda Mamanda Razak juga telah cuba melakukan tindakan seumpamanya. Anakanda Mamanda Razak sedang membuka jaringan kroni-kroni baru. Sime Darby kroni pertama Anakanada Mamanda Razak. Jika diselidik dan dihalusi, maka pasti akan kita ketemui bahawa Anakanda Mamanda Razak dan kaum kerabatnya mungkin ada memiliki kepentingan.

Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara melalui penswastaan. Ia telah dipersetujui oleh Anakanada Mamanda Razak. Dia sendiri membuat kenyataan - dia tidak akan menghalang niat Sime Darby.

Lihat dengan licik Anakanda Mamanda Razak telah "membocorkan" berita rancangan ini sesudah Parlimen ditutup untuk bercuti satu bulan. Anakanda Mamanda Razak tidak mahu projek penswastaan (baca: rompakan) IJN ini dibincangkan di Parlimen. Pasti perancangan ini telah lama berjalan secara senyap-senyap. Pasti ada rundingan yang telah dibuat. Kenapa projek penswastaan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di Parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Anakanada Mamanda Razak bersetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu diuar-uarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation? Semua perjanjian penswastaan dibuat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat pemegang konsesi lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan. Ertinya perjanjian ini dibuat dengan kita semua. Kerajaan itu ialah orang ramai. Orang ramai ialah kita semua kerana kita yang melantik kerajaan. Kalau kita melantik kerajaan, kenapa kita tidak boleh mengetahui apa yang dijanjikan?

Justeru, dasar penswastaan ini wajib dihentikan. Dasar ini membawa mudarat kepada orang ramai. Tugas kerajaan bukan untuk mengayakan kroni dan kaum kerabat. Tugas kerajaan yang berjiwa rakyat ialah mendahulukan kepentingan ramai daripada kepentingan kroni dan anak bini. Tugas utama kerajaan ialah untuk memastikan rakyat terbanyak hidup selesa dengan pembahagian dan agihan ekonomi yang adil.

Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran. Selagi mereka berkuasa, rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan – hentikan dasar ini dan mereka ini kita nyahkan daripada tampuk kuasa.

Retorik gedebe PKR di Shah Alam

Saya masih teringat lagi majlis perasmian pergabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina pada 3 Ogos 2003. Tiga hari sebelum majlis perasmian, kumpulan Teater Bukan Teater diminta memberikan persembahan yang mengintepretasi makna dan tanda pergabungan. Tiga hari? Iya, kami hanya diberi masa tiga hari sahaja. Teater Bukan Teater tidak menolak. Kami membuat persembahan kerana kami dibayar dengan harga yang begitu mahal sekali - kami dibayar dengan api dan semangat perjuangan. Saya juga masih teringat kongres pertama PKR pada Disember 2003 di sebuah tok pekong di Ipoh. Iya, di sebuah tok pekong, bukan di dewan hotel atau gedung mesyuarat yang mewah tetapi di sebuah kuil. Pada Disember itu, saya telah memastikan diri saya ke Ipoh untuk bersama sejarah.

Ketika di pekan itu, saya dapat merasakan ombak dan semangat juang membakar terus. Apabila kongres pertama PKR berlangsung di rumah sembahyang Cina, maka implikasinya cukup mendalam. Inilah tanda-tanda permulaan retaknya konsep Ketuanan Melayu. Ia juga tanda keberanian sebuah parti politik untuk memulakan politik baru – politik yang bukan berasaskan sokongan bangsa atau agama.

Di tok pekong ini jugalah Anwar Ibrahim untuk pertama kalinya berkemungkinan untuk turut hadir setelah bebas daripada penjara.

Saya ke kongres PKR bukan sebagai anggota parti. Saya ingin melihat siapa yang datang. Saya sebenarnya tidak mengenali ramai para pemimpin parti sama ada gedebe nasional maupun gedebe negeri dan bahagian. Untuk saya, mereka ini tidak penting. Apa yang ingin saya lihat ialah muka dan rupa betuk rakyat yang hadir kongres. Ada satu perkara yang wajib saya perhatikan. Saya hendak melihat apakah ramai anak muda yang turut sama merayakan kongres ini. Untuk saya ini adalah kunci. Kekuatan satu satu gerakan. Gerakan apa sahaja, jika tidak ada anak muda yang meminatinya, pasti gerakan ini akan gagal. Dalam semua perjuangan merebut kuasa politik, tanpa anak muda, tidak mungkin ruyung dapat dipecahkan. Sejarah dan pengalaman menjadi guru kita yang terbaik.

Pagi Sabtu 29 Novemeber lalu, saya ke Shah Alam. Saya amat jarang meninggalkan bilik di hari Sabtu terutama waktu pagi. Pagi itu saya memaksa diri saya bukan untuk mendengar ceramah dan ucapan yang gah-gah dari para politkus. Saya datang untuk mencari ambience dan suasana. Saya hendak melihat suasana PKR dan Pakatan Rakyat setelah berjaya menawan lima buah negeri.

Apabila saya melintasi pintu gerbang di sebelah Universiti Malaya dan meninggalkan Wilayah Persekutuan untuk memasuki Petaling Jaya, saya mula ternampak bendera, banting dan iklan kongres. Hebat. Sepanjang Lebuh Raya Persekutuan hingga ke Stadium Malawati, Shah Alam, iklan-iklan terpasang di sepanjang jalan untuk menjemput sesiapa sahaja datang merayakan kongres nasional kelima PKR.

Selangor negeri terkaya bawah Pakatan Rakyat telah menjadi tuan rumah. Kerajaan Selangor menyediakan abang-abang berbaju hijau dari pasukan Rela untuk membantu keselamatan. Pekerja Majlis Bandaraya Shah Alam yang berpakaian seragam siap sedia mengarahkan para tetamu. Saya jangka tidak mungkin ada sesiapa yang akan tersesat mencari tempat kongres walaupun pertama kali turun ke Shah Alam. Persediaan kelihatan lumayan dan tersusun.Nah... keadaan ini amat jauh sekali dengan apa yang berlaku di Ipoh. Lima tahun lalu, di Ipoh, polis trafik ditugaskan untuk menyaman sebanyak mungkin apa sahaja yang bergerak. Malah ketika para perwakilan sedang bersidang, polis trafik datang untuk menyaman kereta yang terletak di pinggir-pinggir jalan. Polis bersenjata pula tercacak di sana-sini bukan untuk mengawal tetapi hadir untuk memberi tekanan dan menakut-nakutkan orang ramai yang datang ke tok pekong tersebut. Di Shah Alam, semuanya berbeza.

Ketika saya masuk ke dalam Stadium Malawati, seorang politikus sedang berucap. Sambil memasang telinga, mata saya ingin melihat siapa yang hadir. Saya tidak ambil pot muka-muka siapa yang duduk di atas pentas atau siapa yang duduk di barisan depan. Mereka ini semua pastilah para gedebe.Apa yang ingin saya lihat ialah orang yang duduk di bawah pentas. Saya kagum apabila melihat rakyat biasa yang memenuhi stadium di pagi Sabtu itu. Mereka tidak berbatik lengan panjang seperti budaya gerombolan United Malays National Organisation. Mereka juga tidak berdasi dan bertali leher. Majoriti duduk di dalam stadium hari itu adalah rakyat biasa yang mukanya sering saya temui di perhentian bas, di warung-warung atau di pasar malam.

Yang lebih mengkagumkan ialah kepelbagian bangsa-bangsa yang hadir. Untuk saya, ia bukan kongres Melayu, bukan kongres Cina, bukan kongres Islam, bukan kongres India, Dayak, Iban atau Kadazan. Kongres PKR di Stadium Malawati hujung minggu akhir November ini jelas memperlihatkan kemalaysiaan - kongres rakyat Malaysia, rakyat biasa.

Saya tidak nampak muka Mak Datin atau muka Minah cun ala Umi Halfida yang datang berbedak dan bergincu. Atau Mak Datin yang datang dengan tas tangan Prada atau lelaki gendut berbaju batik bercincin besar seperti Ahmad Ismail dari Bukit Bendera. Tidak juga kelihatan susuk Abang Zak yang memakai kaca mata hitam Gucci.

Saya senang hati apabila melihat bahawa PKR masih lagi dimiliki oleh rakyat Malaysia. Parti muda ini masih dalam keadaan selamat belum menjadi barang dagangan - belum lagi (sic).

Apabila sesi persidangan berhenti rehat, saya menebeng di tepi pintu untuk memerhatikan muka-muka yang berkongres dengan lebih rapat. Ada Mak Cik berbaju kurung, Pak Cik bersongkok berbaju Melayu, Nyonya dan Amoi memakai gaun, wanita India bersari, Pak Lebai dan Punjabi yang berserban rapi.

Ada juga yang memakai baju batik berlengan panjang, saya menganggap mereka ini seperti tersalah masuk Kongres.

Di luar stadium pula, makanan telah disediakan. Tidak lagi nasi bungkus seperti di Ipoh. Kini mereka yang berkongres dan sesiapa sahaja yang datang mencari ambience seperti saya akan dipelawa makan. Ada masakan Melayu, ada masakan India, ada masakan Cina dan ada masakan sayuran untuk yang tidak memakan hidupan – malah ada banyak pilihan.

Makan tengah hari ini bertambah lumayan kerana satu kumpulan pemuzik terus menghibur para tamu dengan lagu-lagu keroncong untuk merehatkan kepala sesudah mendengar ucapan-ucapan dari para pemimpin.

Ketika saya hendak beratur mengambil makanan, saya melintasi satu khemah khusus dengan empat meja besar. Kipas angin terpasang ligat. Sudu dan garpu tersusun rapi. Terhidang indah di meja ini makanan yang pastinya untuk para gedebe. Saya hairan kenapa para gedebe ini tidak beratur sama seperti orang biasa untuk mengambil makanan. Nampaknya hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation itu telah menyerap. Ada garis pemisah yang amat jelas di antara para gedebe PKR dengan orang biasa. Lalu saya teringat beberapa minit tadi pemimpin parti telah berucap mengatakan bahawa kemenangan 8 Mac yang lalu adalah kerana sokongan rakyat, bukan kerana kekuatan dan jentera parti.

Nampaknya menyuarakan retorik politik baru ini cukup enteng tetapi melaksanakan budaya politik baru ini masih amat jauh dari hati para gedebe. Mungkin mereka tidak memahami politik baru juga wajib membawa budaya baru yang bukan budaya feudal.

Setelah makan, saya meleser untuk melihat gerai-gerai jualan. Tidak banyak yang menarik. Malah hanya ada satu, dua gerai yang berstatus keilmuan menjual buku; yang lain-lainnya hanyalah warung-warung biasa yang menjaja khazanah Gerakan Reformasi yang sering saya temui di ceramah-ceramah besar.

Anak muda? Mereka kelihatan berkeliaran - ia seakan-akan pesta untuk mereka. Malah ada yang agak terlalu muda untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku di dalam stadium. Mungkin kerana sedang bercuti sekolah, ada anak-anak sekolah kelihatan menjual beg biru untuk dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan ketika berkongres di Stadium Melawati.Lalu timbul persoalan - apakah api dan semangat perjuangan masih membara? Jawabnya iya dan tidak. Ketika mendengar ucapan pemimpin di dalam stadium, masih ada laungan "re-for-ma-si" kedengaran. Tetapi laungan itu tidak lagi mengegarkan stadium.
Mungkin kerana Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedang sibuk mengisi borang melamar kerja atau mengisi borang kontrak daripada lima kerajaan Pakatan Rakyat.

Kongres tahun hadapan, saya bercadang untuk datang lagi kerana saya ingin bertanya apakah AMK telah mendapat pekerjaan atau telah mendapat kontrak. Jika telah mendapat apa "yang diminta", pastilah tiada lagi laungan "re-for-ma-si".

Selasa, Februari 17, 2009

Wanita, kejantanan dan pemerintahan bermaruah..

Perlahan-lahan, Tun Nila Utama masuk mengadap dan bersembah di hadapan Baginda Sultan selesai perguruan ilmu persilatannya. Ketika diajukan pertanyaan sama ada beliau mahu beristeri atau tidak, maka Tun Nila pun berkata, "Anak kepada sekalian dato' menteri itu bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata.."

"Tun Nila! Apa bezanya antara perempuan dengan betina?" Sultan Alam Syah Bana, Raja bagi kerajaan Pura Cendana mula murka. Seumur hidupnya, barangkali baru kali ini baginda mendengarkan ungkapan biadap sebegitu yang jelas menghina kaum wanita di negerinya.
"Perempuan.. memelihara maruah," kata Tun Nila. "Tetapi betina.. menjualnya.."

Oleh kerana kejujuran mempertahan pendapatnya itu, beliau dititah keluar negeri untuk akhirnya kembali semula mempersembah seorang wanita bermaruah di hadapan baginda sultan dan pembesar negeri tersebut. Akhir daripada pencarian, Tun Nila memang berjaya membawa pulang seorang perempuan.

Kalau tidak ditafsirkan betul-betul, nanti kaum wanita marah pula. Tentu mereka tertanya-tanya, apakah bezanya antara lelaki dan jantan. Maka jawapannya tetaplah sama, iaitu lelaki memelihara maruah serta jantan itu telah menjualnya.

Jantan dan betina adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa manusia itu bukan lagi makhluk bergelar khalifah yang seluruh kehidupannya dibungkus hias dan didandan oleh sifat-sifat kemanusiaan.

Arakian.. rupa-rupanya, sekalian bangsawan dan pembesar di negeri itu ada masalah besar dengan kaum wanita. Menteri Nikah Kahwin pun sanggup menceroboh rumah Puspawangi saat Tun Nila Utama mencari Musang Berjanggut.

"Apa hukumnya, seorang lelaki menceroboh masuk ke rumah wanita ketika ketiadaan suaminya?" tanya Puspawangi kepada Menteri Nikah Kahwin.
"Oh, itu salah besar.."
"Jadi.. kanda pun salah jugalah," balas Puspawangi.
"Eh, salah jugalah.. tapi tak apa-apa. Sebabnya, undang-undang dalam negeri ini kanda yang pegang. Itu semua boleh padam.."

Ertinya, kelelakian kaum Adam pun boleh runtuh ke taraf jantan apabila mereka telah menjual maruahnya. Sama sahaja keadaannya. Tanpa maruah, kewanitaan dan kelelakian telah tercabut daripada jiwa mereka.

Cuma.. dalam fahaman Melayu, ungkapan 'anak jantan' itu masih lagi bermaksud mulia kerana diungkap perkataan itu untuk menunjukkan darjah keperwiraan mereka untuk membela hak dan keadilan pusaka, tanahair dan maruah. Maka, dalam konteks penggunaan lafaz ini, 'anak jantan' memang memiliki konotasi yang sangat baik.

Sementara itu, kepenggunaan lafaz 'anak jantan' pada zaman purbakala juga boleh merujuk kepada keadaan tidak bermaruah jikalau 'anak jantan' itu takut merampas dan mengganggu isteri orang, membuat onar serata kampung termasuk mengintai anak dara mandi di tepi sungai. Ini semua gejala-gejala tidak bermaruah, tetapi dianggap tidak jantan jika mereka tak berani melakukannya.

Pada zaman sekarang, seseorang lelaki mungkin dianggap tidak jantan jika tidak pandai merempit, tidak menghisap rokok, berjudi, membuat tatu, memakai anting-anting, menindik hidung dan main perempuan. Walhal, ini semua adalah gejala yang bakal meruntuhkan anak bangsa. Dan, kebanyakan 'anak jantan' yang berani melakukan hal ini secara terbuka adalah anak kepada orang kenamaan, VVIP yang tidak boleh disentuh oleh polis kerana bapa mereka adalah orang terhormat.

Demikianlah.. seorang menteri dianggap tidak bermaruah apabila sanggup menggunakan wangnya untuk membeli kaum wanita, bercakap tidak serupa bikin, tidak jujur dengan undang-undang negara yang digubal melalui lidah, jiwa dan fikirannya. Cakap tidak serupa bikin, memadam kesalahan dengan memperalat perundangan adalah sikap tidak bermaruah menteri.
Makna maruahDalam bahasa Arab, mar'atun ertinya perempuan. Daripada segi ini, hubungan kaum perempuan dengan maruah itu jauh lebih akrab berbanding kaum lelaki. Barangkali, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa maruah sesuatu bangsa atau maruah agama itu terletak kepada maruah kaum wanita bagi sesuatu bangsa dan agama itu.

Misalnya, jika wanita Melayu itu rosak, maka rosaklah maruah Melayu. Atau, jika wanita muslimah itu rosak, maka maruah seluruh umat Islam itu pun tercalarlah sudah. Namun, haruslah diingat juga bahawa..jika wanita bagi sesuatu bangsa itu sudah rosak, maka kaum lelaki bagi sesuatu bangsa itu mestilah segera bertanggungjawab dan memainkan peranannya!

Ini kerana.. ada banyak kejadian yang menunjukkan bahawa kaum lelaki itu jugalah yang telah menyebabkan kaum wanitanya telah tergadai maruah. Kalau wanita itu menjadi penari di sebuah kelab, maka pemilik kelab itu kemungkinannya seorang lelaki juga! Mereka inilah yang telah memperalatkan kaum wanita itu tadi dengan segala janji manis.

Maka, apakah usahanya untuk kita kembali menyedarkan umat ini berhubung persoalan maruah?

Tidak dapat tidak.. memang kita perlu berusaha keras mengkaji, menelaah dan jujur bermuhasabah mengenai kelemahan diri lalu berusaha memperbaikinya daripada semasa ke semasa.

Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan maruah sebagai kehormatan (diri), dan harga diri. Dalam pengertian yang kedua, kamus itu juga menunjukkan pertalian hubungan maruah dengan sifat laki-laki, keberanian dan kegagahan.

Kita boleh juga menyatakan bahawa orang yang bermaruah itu adalah mereka yang berani mempertahan pendirian, tak mudah goyah prinsip perjuangan dan tidak boleh dijualbeli pendiriannya melalui tawaran wang, pangkat, kekuasaan dan wanita yang cantik.

Wanita itu bagaikan cermin Sementara itu, mir'aatun dalam bahasa Arab bermaksud cermin. Jadi, isteri bagaikan cermin di mana gambaran wajah suami terpantul dalam cermin tersebut. Atau, kita boleh juga menyebutkan bahawa kaum wanita itu bagaikan cermin yang akan memantulkan gambaran sebenar kaum lelaki dalam dirinya.

Jika cermin (wanita) itu gelap, berhabuk dan berdebu, maka kaum lelaki itulah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membasuh dan menggilapnya supaya imej gambaran dan bayangan dirinya akan kembali terang dan cerah di dalam cermin itu. Kaum wanita itu cerminan bagi diri kaum lelaki.

Kalau cermin itu retak dan pecah, maka gambaran lelaki itu sendiri akan turut menjadi cacat. Cermin yang akan cacat dan telah dirosakkan inilah yang akan menebarkan segala benih sengketa di dunia akibat kaum lelaki sudah tidak lagi ambil kisah, tidak peduli dan bersikap tidak bertanggungjawab memelihara, memuliharanya daripada semasa ke semasa.
###

Sultan Alam Syah Bana akhirnya turut berasa malu berikutan kejadian dirinya tertangkap sebagai penceroboh dalam rumah anaknya sendiri tatkala cuba berbuat serong terhadap menantu perempuannya.

Pemerintahan yang bermaruah"Yang sebenarnya, ayahanda ingin mengetahui apa perbezaan antara perempuan dengan betina. Sekarang barulah ayahanda tahu," kata baginda ketika mula menginsafi kesilapannya. Di sini dapat dilihat betapa sulitnya untuk kita berusaha memulihkan sebuah pemerintahan yang bermaruah.

Kita mungkin boleh memimpin rakyat bawahan dengan mengendong seribu satu macam inti pengajaran guna mengasuh pemikiran darihal pengertian maruah. Tapi, bagaimana cara mengasuh penguasa agar mereka dapat mengusung pemerintahan bermaruah? Hal ini memerlukan kesungguhan yang mendalam, keberanian, kejujuran bertindak dan keikhlasan mempertahan pendirian.

Syahadan wal arakian..

Bermaruahkah sesebuah pemerintahan itu, jika seorang wanita yang lemah; Altantuya of Mongolia diletupkan tubuhnya oleh bom C4? Walhal bom C4 daripada masyarakat tentera yang dibeli melalui duit, cukai rakyat itu boleh dimanfaatkan oleh komando kita yang terlatih guna meletupkan Parlimen Knesset Zionis Israel, di mana dalam parlimen itulah Zionis Israel telah membuat keputusan bedebah, iaitu memperkosa hak rakyat Palestin selama ini.
Tepuk dahi tanya pemikiran.

lu pikirlah sendiri.. (Heii.. geramnya..)