Jumaat, Februari 27, 2009

Dari Yb Ir Nizar

Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan. Situasi semasa memerlukan saya sepenuh masa menangani beberapa permasalah akibat rampasan kuasa (coup d”etat) oleh UMNO BN pada 5 februari 2009.
Ini sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak apabila dengan zalim dan rakusnya Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak mengadap DYMM Sultan Perak pada pagi 5 Feb. 2009 untuk merompak hak rakyat tersebut melalui pintu belakang.
Pada 2 Feb 2009 (Isnin) , saya mengadap DYMM Sultan Perak di Istana Kinta bagi mempersembahkan 2 pucuk salinan surat perletakan jawatan YB Jamaluddin(Behrang) dan YB Osman (Changkat Jering) bertarikh 30 Jan 2009, dan surat dari YDP Dewan (Speaker) YB Sivakumar kepada SPR memohon di laksanakan pilihanraya kecil kedua-dua DUN tersebut.
Ketika itu UMNO-BN di ketuai oleh Najib Tun Razak masih dalam proses memerangkap beberapa wakil rakyat PR khususnya YB Dato’ Nasaruddin (ADUN Bota yang telah menyeberangi ke PKR) pada 25 Jan 2009, dan ADUN Jelapang YB Hee Yit Fong.
Perhubungan dengan YB Jamaluddin dan YB Osman telah terputus mulai 26 Jan 2009. Keluarga dan orang terdekat termasuk ketua umum PKR, DSAI, juga gagal. Hanya setelah surat perletakan jawatan dikemukakan baharulah kedua mereka muncul bersama Najib Tun Razak. Semasa kemelut itu juga YB Dato Nasaruddin (BOTA) dilapurkan hilang dibawa oleh 2 orang ADUN UMNO yang kononya mereka diarah menjemput YB Dato Nasa bertemu Raja Muda. Dia akur dengan pelawaan palsu tersebut dan bersetuju bersama kedua-dua adun umno menaiki pacuan empat roda dan trus hilang entah kemana, khabarnya dilarikan kepada dakapan Najib Tun Razak.
Dilaporkan oleh isteri YB Dato’ Nasa, Datin UMI bahawa suaminya hilang mengikut dua orang adun umno pergi bertemu Raja Muda tetapi rupa-rupanya untuk dibelutkan oleh umno agar YB Dato’ Nasa kembali semula kepada umno-BN walaupun telah bersumpah dikhalayak ramai 10,000-15,000 orang pengundi Bota pada 30 Jan 2009 untuk tidak akan berganjak dan kembali kepada UMNO. Pertemuan YB Dato Nasa denga saya di pejabat MB pada 29 Jan 2009 bersama ahli-ahli exco dan pimpinan PKR Perak juga menjanjikan benda yang sama. Bila ditanya oleh warga media adakah YB Dato Nasa akan kembali kepada UMNO oleh kerana pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada Najib Tun Razak, namun jawab YB Dato Nasa, “Insya Allah, tidak”.
Ketika itu kedapatan YB Hee dari Jelapang juga turut lesap dan putus hubungan, sehingga YAB ketua Menteri Pulau Pinang selaku SU Agong DAP memberi amaran mana-mana ADUN DAP yang putus hubungan dalam tempoh 24 jam di kira telah meletak jawatan.
Ketika itu, keputusan SRP pula menafikan hak dan permohonan YB Speaker untuk diadakan PRK di Behrang dan CGKT Jering. Maka tiada pilihanraya kecil, ini pula atas desakan dan campur tangan UMNO BN mengarahkan pengerusi SPR yang baru dilantik (tetapi diberi amaran kerana bertanggungjawab tersungkurnya UMNO BN di KT ) untuk jangan diadakan PRK di Behrang dan Cgkt Jering. (Bertentangan dgn Perlembagaan Persekutuan 113). Untuk pengetahuan semua, SPR tidak boleh menolak mana-mana permohonan dari mana-mana Speaker di Malaysia untuk isytihar PRK apabila ada surat dari wakil rakyat tersebut yang meletak jawatan. Peranan SPR dalam Perlembagaan Malaysia hanyalah sebagai pelaksana sahaja dan bukanya pemutus untuk tolak atau meragukan mana-mana surat yang pada pandangan Speaker adalah sah.
Maka pada 4 Feb 2009, selaku MB serta ketua DUN, saya mengadap DYMM memohon perkenan agar dibubarkan DUN Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak membuat pilihanraya baru dan secara sahnya memilih kerajaan baru. DYMM Sultan menyatakan akan mengkaji dan menghubungi saya kemudian, saya akur. DYMM Tuanku mengucapkan kepada saya, “Innallaha maa Sobirin” (Sesungguhnya Allah bersama orang2 yang sabar) dengan senyuman sambil menggoyang-goyangkan kedua tangan Tuanku.
Kesokan harinya 5 Feb 2009, (khamis) jam 10.00 saya bersama-sama YAB PM Pak Lah berada di Bgn Serai merasmikan majlis mekanisasi pertanian penanaman padi seluas sekitar 200 ekar secara moden oleh Sime Darby. Namun keseluruhan berita telah digelapkan walaupun ada liputan media meluas. Jam 11.45 pagi saya menerima perintah DYMM Sultan untuk mengadap di Istana Kinta. Maka saya memohon laluan dari YAB PM dan terus menuju Istana . Sesampainya di Istana, DYMM Sultan telah sedia menanti bersama Penasihat Undang-undang, (LA).
Saya terus angkat sembah dan duduk (cukup luar biasa sebab yang biasa apabila dititah atau mohon mengadap, sayalah yang akan menunggu DYMM Sultan didalam bilik khas). DYMM menyatakan kepada saya:-
1. Kesemua 27 ADUN BN telah dipanggil mengadap dan setuju trus dengan BN
2. Adun Bota (YB dato Nasa) telah bersetuju kembali kepada UMNO-BN
3. Ketiga Adun Behrang, Cgkt jering dan Jelapang juga telah dipanggil mengadap dan bersetuju keluar PR dan menjadi ahli Bebas serta menyokong BN, menjadikan 31 orang. (28 +3)
4. Maka sekarang BN ada majoriti dan PR cuma ada 28 ADUN.
Saya sudah terlintas dihati yang sesuatu tak kena akan terjadi makanya ,saya mohon mencelah dari DYMM Sultan dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengutarakan hujah dan point berikut:-
i. Saya hanya memohon perkenan kebawah DYMM Tuanku untuk dibubarkan DUN Perak dalam hak dan kuasa yang dianugerahkan saya sebagai MB dan ketua DUN.
ii. Kembalikanlah hak rakyat untuk memilih kerajaan baru yang sah dan bermaruah.
iii. Saya mahu mendaulat dan memartabatkan institusi Istana sebagai institusi ulung dan teragung di kacamata rakyat.
iv. Bila DUN dibubarkan, rakyat akan lihat bahawa Tuanku cukup adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sekali gus rakyat akan menjulang dan menghormati institusi Istana kerana mengembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula. Ini Keadilan yang kita laung-laungkan.
v. Saya ajak DYMM Tuanku Sultan meredhai dan bersyukur di atas anugerah Ilahi dalam sambutan Jubli Perak dengan Allah SWT memanjangkan usia DYMM Tuanku hingga ke 82 tahun. Saya seru agar merealisasikan kesyukuran atas nikmat ini dengan mengembalikan hak rakyat serta pengampunan dari Allah SWT
vi. Saya nyatakan dengan jelas jika Tuanku bubarkan DUN, rakyat akan turut bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kepada Tuanku dan rakyat akan menjulang institusi Istana.
vii. Disebaliknya saya nyatakan bahawa jika hak rakyat ini tidak diberi (dengan tidak membubarkan DUN) maka dikhuatiri rakyat akan menghina dan hilang hormat kepada institusi di Raja dan Tuanku sendiri.
viii. Saya zahirkan kepada DYMM Tuanku dimanakah maruah kerajaan UMNO BN dengan mengambil 3 orang wakil rakyat (Jamaluddin, Kapt Osman dan Hee) sebagai penyokong mereka semata-mata hendakkan simple majoriti, yang mana 2 daripada mereka (Jamaluddin dan Osman) telah dituduh oleh pimpinan UMNO terdahulu dari itu sebagai mengambil rasuah meluluskan projek perumahan di Perak Tengah bernilai RM180juta dan menerima habuan serta sedekah seks (yang mana projek tersebut tidak wujud pun! Sengaja diada-adakan oleh pihak BPR pusat untuk mejatuhkan kerajaan PR). Kedua mereka akan menghadapi perbicaraan di mahkamah session Ipoh pada 10 Feb 2009. Saya juga katakan kepada DYMM Sultan seandainya pertuduhan ke atas mereka lekat, maka apa akan terjadi kepada kerajaan itu kelak. Dan jika pertuduhan itu digugurkan oleh mahkamah, sudah tentu rakyat jelata akan melihat sebagai campurtangan pihak Istana dan ini akan mencemarkan imej dan kedaulatan Istana.
ix. Saya beri maklum bahawa jika dibubarkan DUN Perak seluruh institusi Istana di Malaysia pasti akan mendapat penghormatan tertinggi dikacamata rakyat jelata dan masyarakat dunia dalam dan luar negeri akan turut menghormati DYMM Tuanku. Kekebalan dan kekuasaan diraja telah lama dirobek dan cuba dihapuskan oleh UMNO sewaktu dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Semua institusi kesultanan di Malaysia akan mendapat imej baik dek keputusan bijak dan arif oleh Tuanku.
x. Saya sebut secara verbatim kata-kata DYMM dalam sebuah buku yang Tuanku hadiahkan kepada saya sewaktu menjawat jawatan MB pada bulan Mac 2008 dahulu. Buku berjodol “Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance” (Selected essays and speeches,by HRH Sultan Azlan Shah, edited by Professor Dato’ Seri Visu Sinnadurai, tahun 2004, saya bacakan kepada Tuanku berbunyi, “under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di Pertuan Agong would not withold his consent to a request for the dissolution of Parliament. His role is purely formal”.
Selepas saya baca ayat tersebut sepatah demi sepatah, maka dengan penuh takzim dan lembut ungkap, saya merayu agar Tuanku berpegang dan mengotakan kata-kata Tuanku tersebut. Bahkan saya sebut bahawa buku tersebut dan kata-kata Tuanku di dalamnya menjadi rujukan penghakiman semua negara Commonwealth sebagai suatu peradaban undang-undang yang luhur.
xi. Saya mengingatkan kepada DYMM Tuanku bahawa banyak negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran yang dahulunya ada institusi di Raja, namun apabila keputusan Istana berpihak kepada mana-mana kumpulan dan mengenepikan kehendak hak rakyat, maka kini institusi tersebut telah hilang.
xii Saya merayu bahawa pada ucapan sambutan Jubli Perak pada 3 Feb 2009, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, ucapan Tuanku, ucapan Raja Muda dan juga ucapan saya telah menitik beratkan soal keadilan, hak rakyat dan good governance. Siaran tersebut telah dibuat liputan langsung oleh TV Bernama dan akhirnya saya dengan penuh rendah diri dengan Nama Allah, memohon kepada DYMM Tuanku agar di bubarkan DUN Perak.
Sebaik-baik sahaja habis saya sebut perkara di atas, DYMM Tuanku telah mengangkat sedikit wajahnya dan melihat saya sambil bertitah, “Saya tidak akan bubarkan DUN dan MB kena letak jawatan”.
Dengan spontan saya terus mengangkat sembah keampunan seraya berkata, “Ampun Tuanku, patik pohon sembah derhaka”.
DYMM Tuanku bangun meninggalkan majlis dan seperti biasa, saya bersalam dengan Tuanku sambil mencium tangan Tuanku dan beredar bersama LA. ( Perbualan saya dengan LA selepas insiden ini akan saya lakarkan sedikit masa lagi).
Maka bermulalah suatu cetusan krisis perlembagaan (Constitutional Crisis) yang amat menyedihkan sehingga kini. Kesemuanya ini berlaku oleh kerana kebiadaban UMNO BN pimpinan Najib altantuya memperkakaskan SPR yang enggan mengisytiharkan PRK di DUN Behrang dan Cgkt Jering dan seterusnya rampasan kuasa ikut pintu belakang oleh Najib altantuya pimpinan UMNO BN. Ini tindakan tidak bermoral UMNO yang merampas hak rakyat.
Kini kenyataan-kenyatan dari pimpinan UMNO yang menyanggah dan mengecam hebat tindakan jahat Najib altantuya membuat rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, seperti dari Tengku Razaleigh, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan ramai pakar perlembagaan seperti Dr Abd Aziz Bari dari UIAM, menyatakan bahawa saya masih MB yang sah disegi undang-undang dan kes seperti ini pernah terjadi kepada Almarhum Sultan Idris pada tahun 1974, yang mana almarhum Sultan tidak boleh menyuruh atau memecat MB ketika itu Allahyarham Tan Seri Ghazali Jawi (bapa YB Tajol Rosli). Tuanku terpaksa bernazar untuk menyimpan misai dan janggut selagi MB ketika itu tidak mahu letak jawatan.Akhirnya Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn terpaksa masuk campur dan mengarahkan MB letak jawatan. MB ikut perintah PM tetapi bersyarat. Lepas itu barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Cerita ini masyhur. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak. Krisis ini berpanjangan……….. NIZAR

Rabu, Februari 25, 2009

Adakah rasionalnya Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia



Pada 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.

Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:

1. Datuk Alimuddin berkata, projek itu satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Maknanya, dengan penggunaan e-Buku, pencapaian pendidikan di Terengganu akan melonjak.

2. Bagaimanapun beliau difahamkan ia agak mahal. Jadi, Kementerian Pelajaran akan melihat dahulu bagus atau tidaknya penggunaan e-Buku ini. Jika bagus, kata Datuk Alimuddin, kementerian akan mempertimbangkan penggunaannya untuk masa depan.

3. Datuk Alimuddin juga berkata, keberkesanan projek itu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan sebaik ia mula digunakan oleh murid darjah lima di Terengganu Mei ini. Maknanya, dalam tempoh dua tiga bulan saja sudah dapat dilihat lonjakan hasil penggunaan projek itu.

4. Kementerian juga, kata Datuk Alimuddin, turut melihat projek e-Buku sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

5. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pula berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Bagaimanapun laporan itu tidak menyebutkan kilang itu milik dan diusahakan oleh siapa.

6. Beliau juga berkata, seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Pelajar sekolah menengah di negeri itu diberitahu akan menerimanya pada fasa kedua.

7. Datuk Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta setahun bagi projek itu. "Setiap komputer yang dibekalkan berharga kira-kira RM1,300 dan kita akan pastikan setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima e-Buku sebelum mengedarkannya ke negeri lain," katanya. Datuk Ahmad berkata beberapa buah negeri telah menunjukkan minat untuk melaksanakan e-Buku dan membeli komputer dari Terengganu.

Saya percaya ramai ibu bapa tidak menentang penggunaan e-buku, komputer peribadi (PC) ataupun komputer riba di sekolah sama ada untuk tujuan pengurusan mahupun pengajaran dan pembelajaran. Malah kita mengalu-alukan penubuhan makmal komputer di sekolah untuk mengajar anak-anak kita menggunakan alat dan teknologi berkenaan. Ia sesuai dengan kata-kata Saidina Umar supaya kita mengajar anak-anak kita sesuai dengan zaman mereka.

Bagaimanapun, apabila komputer riba hendak diberikan kepada setiap pelajar bagi menggantikan buku sekolah, saya ada sedikit 'reservation'. Ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya:

1. Benarkah penggunaan komputer riba atau dalam konteks lebih luas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu melonjakkan pencapaian pelajar? Maknanya, pelajar yang tidak pernah mendapat Gred A sebelum ini, tetapi dengan penggunaan ICT, boleh mendapat Gred A bagi semua subjek atau jika tidak pun, banyaklah subjek yang mendapat Gred A. Adakah begitu?

Seorang bekas pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran pernah berkata kepada saya bahawa penggunaan ICT memang terbukti berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan seperti dalam pembayaran gaji kerana kerja yang selama ini dibuat oleh lima enam orang, dengan kemudahan ICT, boleh dikendalikan oleh seorang saja. Tetapi, katanya, belum ada kajian menunjukkan penggunaan ICT boleh meningkatkan atau melonjakkan pencapaian akademik pelajar. Maknanya, belum ada testimoni menunjukkan dengan penggunaan komputer atau ICT, pelajar tercorot melonjak pencapaiannya!

2. Komputer riba itu dilaporkan berharga kira-kira RM1,300 sebuah. Dengan peruntukan RM30 juta setahun, bermakna seramai 23,077 pelajar di Terengganu akan menerima komputer riba setiap tahun. Terengganu mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan peruntukan itu kerana ada banyak duit, terutama royalti minyak. Tetapi bagaimana negeri lain yang dikatakan berminat untuk mengikut jejak Terengganu itu? Jika Kementerian Pelajaran hendak meniru projek itu, kita perlu ingat ketika ini kita ada kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Maknanya, kita memerlukan RM8.5 bilion untuk tujuan itu saja. Atau kita mulakan dengan murid tahun satu saja. Jika setiap tahun 420,000 murid masuk tahun satu (ambil statistik tahun ini), kementerian perlukan RM546 juta setahun itu. (Tahun ini kementerian itu dilaporkan membelanjakan RM180 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks).

3. Jika komputer riba yang diberikan kepada pelajar itu rosak, siapa akan menanggung kos penyengaraannya? Kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran atau pelajar dan ibu bapa sendiri? Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada peruntukan RM30 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu itu meliputi kos penyenggaraan. Jika kementerian laksanakan program itu, sanggupkah kementerian memikulnya? Kita ada 5 juta pelajar!

Saya ragu-ragu jika ibu bapa pelajar sendiri yang perlu menanggungnya. Mungkin ramai yang tidak kisah kerana komputer riba pun dah percuma. Cuma kita lihat, dalam keadaan sekarang, walaupun buku teks percuma diberikan kepada semua pelajar, yuran khas RM4.50 seorang (di sekolah) dan RM9.50 seorang (di sekolah) dah dimansuhkan, nak bayar yuran tambahan sebanyak RM20, RM30 atau RM50 setahun bagi satu keluarga kepada PIBG pun ada riuh rendah satu negara. Ada pengetua kata, termasuk yang buat riuh rendah tu, pegawai pendidikan sendiri! Jadi, bagaimanalah agaknya jika ibu bapa macam tu kena keluarkan duit kocek sendiri untuk penyenggaraan komputer riba itu?

4. Benarkah keberkesanan projek itu dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan? Keberkesanan dari segi apa? Dari segi kemahiran pelajar menggunakan komputer riba itu sewaktu pembelajaran atau dari segi lonjakan pencapaian pelajar dalam pelajaran? Kalau yang pertama mungkin, tetapi yang kedua, saya tak pasti!

Saya dapati kita di Malaysia terkenal dengan projek perintis yang pantas ini. KBSR misalnya, dicuba setahun, kemudian tahun berikutnya, terus dilaksanakan di seluruh negara. Begitu juga apabila subjek Sains diperkenalkan semula di sekolah rendah menggantikan Alam dan Manusia, selepas setahun dibuat projek rintis di beberapa sekolah, tahun berikutnya terus dilaksanakan di seluruh negara. PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) lagi hebat, tanpa sebarang projek perintis, terus dilaksanakan di seluruh negara.

5. Bolehkah ia menyelesaikan masalah beg berat? Rupa-rupanya isu ini masih belum selesai sejak ia hangat diperkatakan dan dilaporkan dalam media massa pada zaman Tan Sri Sulaiman Daud menjadi menteri pendidikan kali kedua. Isu yang sama juga timbul zaman Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Mohamed memegang portfolio yang sama. Ya, mungkin menggantikan buku teks tetapi untuk atasi masalah beg berat, saya rasa bergantung kepada berapa berat komputer riba yang nak dipikul oleh pelajar nanti, terutama murid tahun satu!

Saya bimbang masalah beg berat tak selesai, timbul masalah lain pula. Maklumlah, alat elektronik – sensitif. Silap pikul, jatuh beg atas jalan, dibuatnya tak boleh berfungsi, dah timbul masalah lain pula. Nak baiki, siapa nak tanggung kosnya? Atau boleh dapat ganti yang baru? Sekarang, jika buku teks rosak atau hilang, ibu bapa kena bayar. Jika komputer komputer riba tu rosak atau hilang, macam mana?

6. Benarkah program e-Buku ini untuk melonjakkan kecemerlangan akademik dan mengatasi masalah beg berat, atau ada agenda lain? Sekarang ini pun ada banyak makmal komputer yang dibina dan dibuka di sekolah yang tak dapat berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan komputer peribadi dan LCD projector yang dibekalkan kepada guru, berapa ramai yang menggunakannya sewaktu pengajaran? Bagaimana pula dengan LCD projector yang dipasang dalam kelas, tak memadaikah untuk pengajaran?

Saya rasa soal lonjakan pendidikan, tidak ada kaitan dengan penggunaan buku teks atau tidak. Yang pentingnya bagaimana kita mendorong anak-anak kita tekun belajar. Adakah ibu bapa sendiri jelas tujuan mereka menghantar anak-anak ke sekolah? Dan adakah mereka juga memastikan anak-anak mereka jelas tujuan itu? Adakah sekolah dan guru-guru menjadi faktor yang berjaya menarik pelajar untuk datang ke sekolah setiap hari dan pendorong untuk pelajar tekun belajar?

Selasa, Februari 24, 2009

Kisah dan teladan

Ketika Ratu Balqis menerima sepucuk surat daripada Raja Sulaiman a.s, ratu itu telah bermesyuarat terlebih dahulu dengan mengumpulkan pendapat berhubung pendirian yang harus ditegakkan untuk mendepani seruan Tauhid oleh raja Bani Israel tersebut.
Ratu Balqis menyedari akan perihal kekuatan bala tentera Raja Sulaiman. Ratu telah mendengar kekuasaan dan kekuatan Raja Sulaiman itu bukan calang-calang. Bani Israel itu pernah ditakluk Jalut. Kemudian dibangkitkan Talut untuk mendepani Jalut.
Setelah itu, Jalut terbunuh oleh salah seorang tentera bernama Daud. Dan dengan kerana itulah Daud akhirnya diangkat sebagai raja yang bijaksana. Kini, anaknya Sulaiman telah mengambil takhta dan kedudukannya sebagai raja Bani Israel yang baru.
Ratu Balqis pernah mendengar kehebatan Daud. Baginda boleh melembutkan besi keras dengan tangannya. Tetapi, Daud juga gemar bersuluk sendirian menyanyikan lagu pujian kepada Tuhan dengan kitab Zabur (Mazmur).
Suaranya yang gemersik itu menyebabkan haiwan dan burung-burung yang berterbangan menjadi jinak, terpaku lalu ikut sama bertasbih mengelilingi Daud tatkala gurindam lagu pujian kemesraan kepada Tuhan itu didendangkan.
Pada zaman anak Daud, iaitu Sulaiman, burung-burung itulah yang menjadi bala tentera anak-anaknya. Sulaiman memahami jalan bahasa haiwan.
Dan, tadi Ratu Balqis telah menerima sepucuk surat daripada burung Hud Hud yang kini diangkat sebagai 'wartawan ' baru bagi mewakili Raja Sulaiman itu.

Ratu mula bermesyuarat

Lalu bermesyuaratlah baginda sang ratu bersama-sama para pembesarnya guna mencari keputusan dan mencapai kata sepakat berhubung isi kandungan surat Raja Sulaiman itu.
"Aku penyembah matahari walhal Sulaiman menyembah Tuhan yang tidak kelihatan, tak dapat dicapai pancaindera," si ratu berbisik sendirian sambil menunggu kehadiran para pembesar. "Agama kedua-dua kerajaan ini berbeza."
Balqis melihat surat Sulaiman itu berulangkali. Pada awal-awal surat itu tertulis nama Allah, Tuhan Raja Sulaiman yang bersifat pemurah, penyayang dan mengasihani.
"Apakah Sulaiman itu juga bersifat penyayang seperti Tuhannya?" hatinya berbunga dan dia tersenyum sendirian.
Para pembesar sudah bersedia mendengarkan titahnya. Tetapi, baginda ratu bukanlah watak yang suka menitahkan hal-hal yang tidak masuk akal dan baginda tidak akan melangkah lebih jauh membuat keputusan tanpa mengambilkira pendapat para pembesarnya.
"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): 'Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,
"Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah).
Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku tentang perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya."
Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.
Raja perempuan itu berkata: "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.
"Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita." [Surah an-Naml: ayat 30 - 35]

Sikap sang Ratu patut diteladani

Baginda sang ratu mengutamakan pandangan pembesar, pemimpin kaum dan rakyat jelata sebelum menitahkan sesuatu. Daulat sang ratu terletak di atas restu, suara, pendapat, pandangan rakyat yang mewakili jiwa, ruh serta pemikiran bangsa.
Baginda tidaklah sesuka hati membuat keputusan tanpa merujuk orang-orang di sekelilingnya terlebih dahulu. Sikap dan pendirian ini sangat Islami dan cenderung ke arah pendirian Tauhid walaupun baginda sang ratu bukannya memeluk agama Tauhid. Allah s.w.t merakam pendirian Balqis ini sebagai contoh teladan kepada raja-raja dan pemerintah.
Kedua, dalam fikiran ratu sudah tersemat andaian dan sepekulasi bahawa raja-raja zalim akan selalu merosakkan negeri lalu menyebabkan orang yang paling mulia menjadi hina-dina.
Dengan penuh hati-hati, walaupun diasak oleh para pembesar untuk berperang, maka Balqis tetap menolak saranan supaya kerajaannya berperang dengan kerajaan Sulaiman. Baginda bimbang nasib rakyat jelata yang lebih banyak terkorban.
Lalu baginda ratu memilih jalan perdamaian dengan mengirimkan hadiah sebagai cara melihat tindak-tanduk Raja Sulaiman apabila melihatkan hadiah-hadiahnya yang serba mewah dan barang perhiasan yang berkilauan bak mutiara itu.
Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).
"Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan."

Giliran Raja Sulaiman bermesyuarat

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"
Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah."
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah."
Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, agar kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian."
Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)."
Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.
(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam." [An-Naml: 36 - 44]

Rendah diri Sulaiman a.s

Apabila ada kalangan rakyatnya yang berjaya pindahkan singgahsana Ratu Balqis itu, Raja Sulaiman memuji dan bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana diberikan rakyat yang gagah perkasa dan taat pula pada perintahnya.
Raja Sulaiman berikhtiar keras menimbulkan rasa kagum dalam hati pihak yang didakwahnya agar baginda ratu itu berasa tertarik kepada agama Tauhid.
Antaranya ialah dengan cara mengambil singgahsana Ratu Balqis itu. Singgahsana lambang kepada kekuasaan seseorang raja. Apabila singgahsana raja boleh dialihkan, bererti pihak yang mengalihkan singgahsana itu tentunya memiliki kekuasaan yang lebih, mengatasi kerajaan yang lain.
Paling penting, baik Raja Sulaiman dan Ratu Balqis, kedua-duanya melakukan musyawarah terbuka bersama para pembesar serta rakyat untuk mencari buah fikiran yang berguna dalam menangani masalah kenegaraan dan urusan dakwah.
Taat terangkat selepas musyawarahSesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi sentiasa Melihat.
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Surah an-Nisa': ayat 58 - 59]
Dalam konteks pemerintahan Islam, ketaatan kepada pemerintah, raja-raja itu didahului oleh musyawarah bersama rakyat. Maka, dalam konteks Alam Melayu yang mana Melayu itu beragama Islam, maka perihal ketaatan kepada raja-raja itu mesti dirujuk kepada musyawarah terlebih dahulu.
Raja-raja, pembesar dan pemerintah perlu bermesyuarat mengambil pandangan, membuka ruang terbuka untuk mengambil undi rakyat jika mahu menaikkan pemimpin atau menjatuhkan mereka.
Demikianlah juga.. jika ada pemerintah yang lompat partinya, maka hendaklah rakyat yang terlebih dahulu diminta kata putus persetujuannya. Pendek kata, apa-apa pun projek kenegaraan, menaikkan dan menjatuhkan pemerintahan dan lompat parti, perlulah mendapatkan pandangan umum rakyat terlebih dahulu sebelum berbicara lanjut mengenai ketaatan.
Ini kerana, menurut surah an-Nisa', hal prinsip ketaatan (ayat 59) DIDAHULUI nas yang terkait dengan prinsip penyerahan urusan amanah pemerintahan kepada semua rakyat (ayat 58). Wallahu'alam..