Selasa, November 24, 2009

Bomoh oh Bomoh

Saya ingatkan hanya orang Malaysia je yang suka berbomoh. Apa tidaknya sikit-sikit jumpa bomoh. Kena sampuk, cari jodoh, nak laris meniaga malah terdapat tokoh politik nak jadi calon pilihanraya atau nak jatuhkan orang lain sanggup jumpa bomoh. Dalam bab bomoh, soal akidah halal haram jatuh nombor 2.

Di Serbia, bomoh juga menjadi rebutan dan tumpuan. Pihak berkuasa kesihatan Serbia sedang mencari bomoh misteri yang baru-baru ini menyembuhkan beberapa pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) yang cedera melalui rawatan termasuk urutan dengan uri kuda.

Marijana Kovacevic telah menghilangkan diri selepas pegawai kesihatan bersama anggota polis ingin mengunjungi klinik persendiriannya di Belgrade minggu lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, Kovacevic yang merupakan doktor farmakologi tidak mempunyai lesen untuk mengamalkan rawatan fisioterapi.
Reputasinya sebagai bomoh ajaib untuk merawat kecederaan akibat bersukan tersebar meluas di EPL dengan pemain Arsenal, Robin van Persie dan pemain Liverpool, Yossi Banayoun, Albert Riera dan Glen Johnson dilaporkan mengunjungi Belgrade awal bulan ini.

Mungkin pasukan Bola sepak Malaysia juga boleh jumpa bomoh supaya ranking bola sepak tak merudum seperti tangga 159 sekarang.

Mungkin banyak benda pelik yang berlaku dalam Malaysia juga sebab guna bomoh, dukun dan pawang. Boleh buat magik. Ingat lagi kisah DUN Perak yang didedahkan oleh YB Idham Lim bahawa bomoh telah dibawa masuk sebelum sidang DUN bermula.

Agaknya keputusan Kota Siputeh yang bakal diumumkan oleh Mahkamah tinggi tentang penangguhan kekosongan hari ini juga boleh berubah. Kalau itu berlaku boleh jadi hakim juga tidak terkecuali sudah kena bomoh! Begitu juga jangan terkejut kalau bedah siasat kedua Teoh beng Hock tidak menemukan apa-apa. Boleh jadi semua pakar patologi dari Malaysia dan luar juga sudah kena bomoh!

Inilah juga yang berlaku dalam PKFZ, SPRM juga barang kali sudah kena bomoh sehinggakan laporan audit mendedahkan bahawa wujud penyelewengan tetapi SPRM seolah-olah tak nampak apa juga yang berlaku. Begitu juga dengan penyiasat pesendirian yang pernah dilantik oleh Altantuya tak mustahil juga sudah kena bomoh. Mana tidaknya dalam 24 jam boleh pusing 360 darjah kata Dato Deri Najib tidak terlibat dalam kes berkenaan.Lebih magik lagi P Balasundram boleh ghaib selama lebih 6 bulan tanpa dapat dikesan oleh polis Malaysia yang terkenal dengan kehandalannya.

Mungkin Hakim Mahkamah Persekutuan juga bakal kena bomoh berkaitan kes rayuan Dato seri Ir Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak. Oleh itu kalau banyak lagi benda pelik berlaku dalam negara kita selepas ini kita jangan terkejut boleh jadi semua itu gara-gara bomoh.Wallahualam.

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan

Tindakan Sultan Kedah mahu supaya kerajaan pusat berkerjasama dengan kerajaan Kedah membayangkan rasa tidak puas hati baginda terhadap sikap enggan berkerjasama itu.

"Mesti diingat bahawa luahan rasa tidak puas hati Sultan Kedah terhadap tahap kerjasama kerajaan pusat itu hakikatnya merupakan titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong kerana Sultan Kedah kini adalah Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan pusat diterajui oleh Umno yang mendakwa memperjuangkan bangsa Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu. Jika kerajaan pusat membelakangi titah baginda, ia boleh dianggap penderhakaan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong."

Saya ingin menyifatkan sikap kerajaan pusat yang enggan berkerjasama dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bukan sahaja menentang demokrasi malah menghina perlembagaan Malaysia yang menekankan doktrin federalisme.

Saya juga ingin mengingatkan kerajaan pusat bahawa pendirian kerajaan-kerajaan negeri di bawah PR untuk berkerjasama dengan kerajaan pusat bukanlah tanda mengalah tetapi disorong oleh rasa hormat kepada pilihan rakyat melalui amalan demokrasi di samping menjunjung kehendak perlembagaan negara.

"Kerajaan pusat yang diterajui Umno telah bertindak melampau menghina amalan demokrasi dan perlembagaan negara yang menekankan semangat federalisme apabila menubuhkan kerajaan dalam kerajaan dalam negeri-negeri yang ditadbir oleh PR melalui penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Beberapa kementerian di peringkat pusat pula terang-terang menunjukkan keangkuhan apabila enggan berkerjasama dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR.

"Tindakan itu menunjukkan sikap tamak kuasa yang sanggup bertindak melampau sehingga menidakkan suara rakyat dalam amalan demokrasi."

Sikap itu jugalah yang mendorong kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi perundangan seperti yang berlaku di Perak dan Selangor.

"Hampir semuanya sudah digunakan oleh Umno dan BN untuk menidakkan pilihan raya melalui amalan demokrasi dan jangan terperanjat jika titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga diderhakai oleh mereka."

Siapa yang bohong? Siapa yang kena bohong?

Mitos ialah naratif yang dibuat bertujuan untuk memesongkan hakikat.

Contohnya: Raja dikatakan jelmaan tuhan - mitos ini bertujuan membodohkan kaum tani agar mereka memberikan tanaman mereka pada satu kumpulan manusia yang malas bekerja.

Mitos ini berpanjangan dan ditokok tambah: selepas satu, satu lagi ditambah. Hakikatnya mitos raja dari muntah lembu atau raja jelmaan tuhan bertujuan untuk menipu. Walhal antara raja dengan sesiapa sahaja tidak ada bezanya. Yang melahirkan perbezaan hanyalah mitos.

Contoh mitos: Pokok itu berhantu. Pokok itu wujud dan dapat dilihat dan dibuktikan. Tetapi hantu itu tidak wujud. Mitos hantu diwujudkan untuk menakut-nakut. Apabila kita takut, maka kita akan mencari perlindungan.

Peranan untuk melindungi kita daripada hantu ialah bomoh dan dukun. Akhirnya kita tunduk pada kuasa bomoh dan dukun.

Mitos diwujudkan untuk tujuan baik dan tujuan jahat. Jangan pergi di dalam gua ini, ada hantu adalah nasihat yang bersalurkan penakutan. Nasihat ini baik kerana cuba menjaga keselamatan. Ia juga tidak baik kerana asasnya satu pembohongan.

Hari ini mitos masih cuba di wujudkan – tetapi agak susah. Dengan kemajuan ilmu, tidak ramai yang akan mempercayai mitos-mitos baru yang hendak direka.

Mitos seperti angkasawan Neil Armstrong turun ke bulan dan kemudian terdengar suara azan. Atau mitos Bruce Lee mati kerana bersilat dengan Dicky Zulkarnain – semua ini cuba disebarkan untuk menjadi bahan lawak jenaka.

Tujuan asal mitos ialah untuk membodohkan dan dalam masa yang sama menakut-nakutkan orang ramai. Kalau Raja Jepun berasal daripada Tuhan, maka diharapkan rakyat Jepun akan tunduk. Walhal kalau Raja Jepun ini makan petai, kencing dia tetap hancing. Kalau Putera Charles tercirit, baunya tetap busuk.

Lawan mitos ialah fakta. Fakta dapat dibuktikan melalui pengkajian. Ilmu pengetahuan manusia datang dari fakta dan pemikiran manusia. Semua ilmu dalam dunia ini berpunca daripada tiga sumber.

Pertama: Pengumpulan pengalamnan.
Kedua: Kaji selidik.
Ketiga: Ujian dalam bilik makmal.

Sesuatu mitos akan pecah jika kita berfikir secara rasional. Kajian ilmiah akan dapat membuktikan sama ada sesuatu itu mitos atau fakta. Jika sesuatu masih dalam kajian dan belum dapat dibuktikan betul atau salah, maka ia masih di tahap teori.

Satu ketika dahulu Letupan Besar atau Big Bang hanya satu teori. Hari ini ia telah diterima sebagai fakta. Teori menjadi fakta apabila kajian dapat membuktikan teori ini.

Ilmu pengetahuan adalah pengumpulan pengalaman manusia dari suatu zaman ke suatu zaman. Buruk atau baik pengalaman ini akan menjadi panduan. Panduan ini adalah ilmu pengetahuan. Ada ilmu pengetahuan yang turun dari mulut ke mulut. Ada yang dibukukan.

Dalam negara kita, ada beberapa mitos yang disebarkan. Pada ketika mitos ini disebarkan, ramai warga negara kita belum bersekolah. Maka mitos ini diterima bulat-bulat. Penyebaran mitos ini memang bertujuan untuk membodohkan kita semua.

Tetapi dengan adanya internet, kita dapat memecahkan mitos-mitos ini melalui pengkajian berdasarkan fakta-fakta.

Mitos pertama
Hari Malaysia bukan pada 31 Ogos tetapi 16 September. Bohong. Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu menjadi persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tidak percaya, sila tanya orang Sabah dan Sarawak.

Mitos kedua
Merdeka dimulakan oleh United Malays National Organisation. Bohong. Parti yang awal memperjuangkan dan melaugkan slogan MERDEKA ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuh pada 1938. United Malays National Organisation belum wujud lagi.

Apabila wujud, slogan United Malays National Organisation ialah HIDUP MELAYU dan bukan MERDEKA!

Mitos ketiga
Kemerdekaan dicapai tanpa pertumpahan darah. Bohong. Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin, Peta, Malayan Democtaric Union, KMM dan ribuan warga telah bangun mengangkat senjata.

Pada mulanya melawan Jepun, kemudian melawan British. Tanpa angkat senjata, British tidak akan undur.

Mitos keempat
Lagu Negaraku dikatakan lagu kebangsaan kita. Bohong. Lagi ini bukan ciptaan warga Tanah Melayu. Penciptanya orang Perancis bernama Pierre Jean de Beranger (1780-1857).

Nama asal lagu ini, Memula Moon. Bertukar menjadi Terang Bulan.

Di zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, radio repuklik itu memainkan lagu ini untuk mengejek Tunku Abdul Rahman yang dianggap budak suruhan British. Dari Terang Bulan menjadi Negaraku.

Mitos kelima
Bendera Jalur Gemilang – namanya baru berusia lima tahun. Ia adalah tiruan bulat-bulat bendera Amerika Syarikat yang bernama Star Spangled–Banner, Stars and Stripes dan Old Glory. Jalur Gemilang diciplak daripada bendera Amerika.

Buktinya, lihat Jalur Gemilang tidak ada motif Nusantara atau Melayu. Warna merah dan putih adalah motif Nusantara - merah ertinya darah rakyat dan putih pula hati rakyat. Motif Nusantara ini wujud pada bendera Singapura dan Indonesia.

Mitos keenam
Wujud perpaduan Melayu. Bohong. Tidak ada perpaduan Melayu. Tidak pernah terjadi perpaduan Melayu semenjak konsep Melayu itu wujud. Tidak mungkin adanya perpaduan Melayu seperti mustahilnya lahir perpaduan Cina, perpaduan Arab, perpaduan Itali, perpaduan India.

Mitos perpaduan Melayu bergerak dengan menakut-nakutkan orang Melayu daripada 'ditelan' oleh Cina dan India. Apabila Melayu jadi takut maka akan datang pembantu. Seperti mitos pokok ada hantu. Orang kampung yang takut pada hantu memanggil bomoh untuk menghalau hantu.

Ini cara klasik sesuatu mitos bergerak - takut-takutkan orang ramai. Apabila orang ramai takut, maka mereka akan mencari perlindungan. Maka muncul United Malays National Organisation menjadi pelindung, walhal yang menimbulkannya gerombolan ini juga.

Mitos ketujuh
Malaysia negara unik. Bohong. Mitos ini disebarkan untuk membodohkan rakyat negara ini yang malas membaca dan hanya suka mendengar.

Mitos ini bertujuan untuk menunjukkan hanya gerombolan United Malays National Organisation sahaja yang dapat memerintah kerana Malaysia ini unik.

Hakikatnya Malaysia tidak unik; bukan Malaysia sahaja dalam dunia ini yang berbilang-bilang kaum, berbilang-bilang bahasa, pelbagai agama dan budaya. Tidak ada negara yang monolithic dalam dunia ini – semua ada kepelbagaian. Setiap negara dalam dunia ini ada kepelbagaian.

Teknologi boleh memecahkan mitos. Lihatlah betapa teknologi dan ilmu pengetahuan telah memecahkan mitos-mitos ini. Betapa internet telah membolehkan kita bersama-sama mencari fakta dan menilai dokumen sejarah.

Kalau dulu kita tidak tahu asal-usul lagu Negaraku. Hari ini gambar dan riwayat hidup pembuat lagu ini kita kenali. Kalau dulu ada yang menerima mitos tentang kemerdekaan dicapai tanpa tumpah darah. Hari ini mitos ini telah terbarai, pecah.

Dokument-dokumen sejarah ini semuanya boleh kita baca melalui internet.

Kemajuan manusia akan terus memecahkan mitos-mitos yang lapuk dan berkarat ini. Teknologi akan membebaskan manusia daripada diperangkap dan dibelenggu mitos-mitos.

Tanpa mitos, manusia akan jadi berani. Insan yang berani bebas adalah insan yang berfikir. Manusia yang berfikir tidak akan tunduk kepada sesipa kecuali fikrahnya yang rasional.

Untung! Untung! Untung! Duit! Duit! Duit!

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:

"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.

Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

Memali (dalam kenangan)

Sajak ini adalah karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuat jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa pada syuhada Memali yang menentang penangkapan tanpa bicara.

[Dalam sejarah perjuangan melawan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Ibrahim Mahmud (yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya) dan penduduk kampung Memali adalah antara mereka yang paling berani – dengan keras menentang penahanan tanpa bicara hingga derita raga dan jiwa serta terkorban kehilangan nyawa mereka. Maka pergilah mereka meninggalkan kita sebagai syuhada dan pengorbanan yang cukup besar sekali.]
____

Hari itu Selasa malang,
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah.
setelah malap cahaya lokap,
panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari, negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah, enggan ditahan tanpa kesetaraan, enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia penjara tanpa bicara-warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.

sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah. merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba, tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya mentah kedarah para petani dan buruh mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah

iya mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah, tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.

Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional, tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional, Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis_Syaitan_Act - ISA.

ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras penguasa pujanya Iblis kuasa penguasa sembahnya Syaitan rasuah penguasa berkuku besi pelindungnya ISA_Iblis Syaitan Act.

Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim, Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat,

Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang Iblis dan Syaitan,
akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara,

Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta
pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata .

ISA gari yang merantai kejujuran,
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta
ISA adalah tangisan
ISA adalah ketakutan

Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara
pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam, sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling, siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba
ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,
di balas kereta perisai dan senjata
Memali adalah sejarah melawan ISA
paling berani
merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru
gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang
syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara

akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang
rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis
benang-benang kusut
fikiran hanyut
keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa
merah mengalir darah merdeka
korban ISA dan kekejaman negara
syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga, mencabut nyawa suami dan ayah, para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa

Mereka telah membunuh:

1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.