Jumaat, Mei 08, 2009

Apa Dah Jadi

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Berebut-rebut jawatan BN dengan PR
Yang situ nak jadi MB
Yang sini pun nak jadi MB
Alih-alih bertengkar dengan Sivakumar

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Yang sini nak Zamri
Yang situ nak Nizar
Pening kepala Najib dengan Anwar

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Bertengkar-tengkar pulak pasal kereta
PR nak Camry
BN nak Perdana
Last-last tergadai lah Camry

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Bergaduh-gaduh pulak nak lantik speaker
BN nak tukar lain
PR nak yang lama
Tup-tup naik lah Ganeson.




Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti
Apa nak jadi.......

Berbondong-bondong masuk dalam dewan
Belum pun panas punggung
Dah bising macam pasar ikan
PR ketuk meja, BN pulak ketuk Tong.

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Masuk pulak pihak polis
Angkut pulak Sivakumar pi
Semua orang tak tau dia pi mana
Dengar-dengar dia jugak masuk sebelah sini.

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Bergaduh-gaduh macam budak kecik
Yang tu berebut- yang ni nak berebut
Silap-silap nanti ada jugak yang tergolek.

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle susah lah nanti

Apa dah jadi
Apa dah jadi
Sampai sekarang tak settle lagi
Apa nak jadi
Apa nak jadi
Kalau tak settle kita pakai undang-undang babiiiiiiii
Bersabar lah hatiiiiiiiiiiii.

Selasa, Mei 05, 2009

Hutang, riba hukum-hakam pemodal

Semua yang wujud dalam alam ini bergerak mengikut hukum alam. Manusia wujud melalui DNA. Bumi ini wujud kerana pertemuan, asakan dan pergumpalan pelbagai bentuk elemen kimia yang terpencar bersepah dalam udara hasil daripada Letupan Besar.

Seperti besi berani yang akan terus menghala medannya ke utara, begitu juga hukum hukum alam ini tidak berubah-ubah. Manusia yang memiliki akal akan mencari dan menemui hukum-hukum ini.

Penemuan hukum-hakam alam ini menjadikan asas kepada tamadun manusia. Hukum alam ini tidak akan beralih-alih. Hukum-hakam ini berkecuali, tidak memiliki nilai. Nilai baik atau jahat lahir daripada akal manusia.

Madame Marie Curie menemui radium dan menemui cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum-hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah.Apabila ditemui ciri dan hukum-hakam uranium, maka akal manusia jugalah yang cuba mengubah hukum-hakam ini sehingga melahirkan bom atom.

Kajian hukum-hakam algebra dan ilmu bintang oleh al-Khwarizmi di Baitul Hikmah, Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini.

Hukum ilmu bintang ini berkecuali – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum ini untuk kebejatan dengan meletakkan senjata di atas langit.

Kapitalisme juga bergerak mengikut hukum-hakam. Hukum pertama kapitalisme ialah: untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Hukum ini tidak akan beralih-alih. Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis tetap sama.Kapitalisme juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisme akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank. Justeru kita wajib memahami bagaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksimum.

Sebelum kemunculan bank – di zaman kapitalisma kaum pedagang - emas adalah tukaran. Justeru, jika kita menyemak Sejarah Melayu, kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas. Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang. Jika melawat musium, kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak.

Para saudagar yang berniaga akan mengupah tukang emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli-belah.

Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi tuan kedai. Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya, tuan kedai akan menulis di atas kertas jumlah emas yang tersimpan. Kertas ini cukup berharga. Sesekali si saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan.

Tuan kedai emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum. Keyakinan ini datang kerana tuan kedai bukan hanya menyimpan untuk seorang saudagar tetapi berbelas-belas. Jika ada si saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya, tuan kedai akan memperlihatkan emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah.

Dari sini hukum kapitalisme bergerak lagi. Contohnya, tuan kedai menyimpan 100 keping emas yang dimiliki saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan, maka nilainya tidak bertambah.

Justeru tuan kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Buluh Kasap. Ertinya, ada seratus keping kertas lebih daripada 100 keping emas. Lebihan kertas ni menjadikan modal saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda.

Kertas yang ditulis oleh tuan kedai ini diuar-uarkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi tuan kedai - inilah asal-usul duit kertas atau bank note. Daripada pengalamannya, tuan kedai tahu bahawa para saudagar ini tidak semuanya akan datang serentak untuk melihat emas simpanan masing-masing. Justeru, dia boleh memutarbelitkan jumlah kepingan emas yang disimpan.

Hukum keuntungan maksimum sistem kapitalis bergerak lagi. Kali ini tuan kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si penyimpan emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal. Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi daripada jumlah emas yang tersimpan. Perkara ini tidak diketahui umum kerana tuan kedai menyimpan emasnya secara rashia - konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan.

Tuan kedai emas menjadi kaya dengan menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas. Justeru inilah asal-usul bank dalam sistem kapitalisme. Amat jelas bank bermula dengan pembohongan. Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan daripada orang ramai. Mereka yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan tuan kedai. Tuan kedai emas ini juga dilihat hebat di kalangan masyarakat kerana memiliki rumah besar, isteri gemuk, makanan sedap, ada babu dan pengawal peribadi.

Tuan kedai emas ini akhirnya menjadi pemilik bank. Gejala ini berlaku 500 tahun dahulu. Jika kita membaca karya Shakespeare, kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock tuan peminjam wang di kota Venice.

Shylock ini watak pemilik bank 500 tahun dahulu. Hari ini watak, hukum-hakam dan ciri-ciri seorang pemilik bank tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar. Jika tidak, daging seketul wajib diagihkan.

Hari ini, 500 tahun kemudian, asas hukum perbankan tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun. Umum selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya daripada amalan tuan kedai emas dahulu. Contoh: Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang. Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit. Lihat silap mata! Dari 100 ringgit modal asal, kini menjadi 2100 ringgit. Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi kredit. Tidak ada duit bertukar tangan - ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti tuan kedai emas tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan.

Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung. Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir daripada hutang dan bunga. Beginilah yang telah dilakukan oleh semua bank. Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini. Dalam masa yang sama, si peminjam diminta memberi cagaran – amalan ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang, maka cagaran akan terlupus. Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan.

Katakan pada hari Rabu minggu hadapan, semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit - maka tertonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap! Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing-pusing hanya kertas. Tertongeng dan terkangkang inilah yang sedang kita hadapi semenjak September 2008. Bank Northern Rock di Scotland tertonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka - permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank. Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan, maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong-bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka.

Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap - inilah yang sedang berlaku sekarang.

Selama 30 tahun yang lalu, pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank. Pemilik-pemilik ban ini telah mempengaruhi para ahli politik untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan. Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada memakan riba, para pemilik bank telah memberi sumbangan kepada politikus.

Persekongkolan ini cukup intim. Para pemilik bank ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka. Pada 2009, banyak bank telah muflis. Lalu timbul persoalan. Ke mana perginya duit-duit ini? Harta kekayaan tidak hilang, ia hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan di bank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung.

Keuntungan ini disimpan. Penyimpan duit di bank boleh jatuh muflis, bank boleh diistihar bankrup tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrup.

Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi syarikat Lim Goh Tong sampai kiamat tidak akan bankrup - ini juga hukum sistem kapitalis.

Isnin, Mei 04, 2009

Jenayah di belakang kekayaan

Harta kekayaan datang daripada keringat manusia. Harta Qarun sekali pun terkumpul daripada hasil tenaga manusia. Menang loteri juga berpunca daripada duit manusia yang telah ditipu. Justeru semua harta kekayaan di dunia ini hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.

Tulang empat kerat dan otak manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kebejatan dan kerosakan alam ini juga hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja, dia melaburkan tiga perkara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga perkara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Elektrik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk - yang dimiliki oleh sesiapa pun tidak dapat tidak berpunca daripada tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah, dia membanting tulang, menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus-lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, memangkas pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa, tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat "di belakang semua kekayaan ialah jenayah". Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya-raya di dunia mendapat harta kekayaan hasil daripada merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Taukeh atau tok peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya tok peraih membeli dengan harga yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya nilai lebihan hasil daripada tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sehingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan - orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peluh Pak Tani. Si pengilang, pembungkus, si pengangkut, si pengiklan dan si Peruncit – semua ini orang tengah yang hidup kaya-raya di atas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berlegar-legar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksimum. Justeru, pengilang beras jadi kaya, pengedar beras jadi kaya atau pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada di antara peniaga beras – di bursa saham Wall Street New York atau City of London - tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya-raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin, Pak Tani. Inilah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis apabila harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain. Mekanisme yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani digelar "pasaran" atau market - sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini dikawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok peraih, si pengedar, si pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksimum. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh orang tengah atau lintah darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh si lintah darat ini mereka memanggil diri mereka dengan gelar-gelar yang baik: Ahli perniagaan, usahawan, pemaju, pengimport, pengeksport atau pengedar. Hakikatnya mereka hidup di atas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada sang kontraktor atau sang pemaju menjadi kaya-raya. Bukan pula bermakna si pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik mentari membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimport buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah. Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si pemaju. Si pemaju sama seperti tok peraih akan menilai masa, tenaga dan fikrah buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si pemaju. Justeru si pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin. Mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si pemaju mendapat keuntungan yang maksimum. Rumah atau bangunan yang didirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu. Justeru terbukti si kontraktor dan pemaju jadi kaya-raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang digunakan lagi besar modal yang dapat dikumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang, maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global, semua negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan.

Hasil dari sistem ini, warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini dinilai dengan rendah, justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antarabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta.

Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika ditaburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Kenyataan ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka. Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dan memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh tuan empunya modal atau kilang. Sebagai buruh kilang, kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah yang hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana tok peraih beras dan tuan punya kilang beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur-galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal-pemodal antarabangsa di bursa saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mandor yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berterusan.

Di Malaysia, mandor yang telah dipilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin tok peraih, sang pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi mereka keuntungan maksimum dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja.

Anak muda tidak tergila-gilakan Raja

Penghormatan diberi, bukan boleh diminta-minta. Individu dihormati bukan kerana paksaan undang-undang atau akta kejam. Kalau ada sesiapa tidak ingin menghormati tuan, mandor, ketua pejabat, cikgu atau raja - tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Menangkap, merotan atau memenjarakan seseorang tidak akan melahirkan apa-apa penghormatan.

Che Guevera dihormati anak-anak muda di seluruh dunia bukan kerana ada undang-undang daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau ada arahan daripada IMF atau Mahkamah Dunia. Che diberi penghormatan kerana hati naluri anak-anak muda mahu menghormatinya. Che Guevera tidak pernah meminta-minta penghormatan ini kerana dia telah lama mati.

Penghormatan yang ditimbulkan melalui undang-undang, kuasa atau pangkat bukan penghormatan sebenar; ini semua penghormatan yang pura-pura. Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu dihormati kerana dapat memberi habuan kontrak. Malah Mahathir sendiri sedar hingga dia membebel sesudah kalah untuk menjadi delegasi Kubang Pasu ke perhimpunan United Malays National Organisation pada 2006 dahulu. Dia membebel kerana tidak ada lagi orang yang datang mencium tangannya.

Lihat pula Abdullah Ahmad Badawi. Belum pun tamat tempohnya sebagai perdana menteri – kerana tandatangannya tidak lagi laku dan tidak mendatangkan kontrak – tidak ramai menteri dan para pembodek berhari raya di Kepala Batas tahun lalu. Berilah apa sahaja nama dan darjah penghormatan – Tun, Tan atau Tin – ia hanya tin-tin yang kosong dan tidak membawa apa-apa pengertian. Pakaikan baju kuning, merah atau kelabu, pasangkanlah tanjak tujuh tingkat, semuanya tidak ada makna. Rasa hormat datang daripada hati.

Pada 1964 Jean Paul Sartre dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Dia tidak datang mengambil hadiah ini. Malah Sartre langsung tidak ambil peduli. Dia menolak penghormatan yang mengada-ada. Tetapi idea dan falsafah Sartre masih menggegarkan dunia. Idea dan falsafah inilah yang dinobatkan untuk dihormati, daripada segala bentuk penghormatan yang pura-pura.

Bagitu juga Le Duc Tho yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan pada 1973. Dia juga tidak pergi ke Stockholm untuk mengambilnya. Hingga ke hari ini Duc Tho masih dihormati dan diingati sebagai patriot Vietnam yang merangka dan membuka jalan damai untuk negaranya pada 1972.

Justeru apabila ada gerombolan yang meloncat mengambur meminta dan memaksa orang ramai agar menghormati raja, maka permintaan ini kelihatan sebagai lawak bodoh. Meminta dihormati, memaksa dihormati - atau melembagakan penghormatan - bukan penghormatan namanya. Penghormatan datang secara sukarela dari hati suci yang ikhlas dan jujur. Penghormatan yang suci bukan kerana upah, paksaan, atau janji pangkat dan kontrak.

Kalau seorang anak sekolah ditarik telinga dan dipaksa menghormati guru besarnya, maka untuk beberapa saat (ketika telinganya sakit) mungkin anak sekolah ini akan berkata bahawa dia menghormati si guru besar. Terlepas sahaja telinganya daripada pulasan, anak sekolah ini bukan sahaja tidak akan menghormati si guru besar, malah besar kemungkinan si guru besar akan dibaling dengan najis. Ini hakikat.

Apabila saya menulis artikel, cerita-cerita karut tentang daulat raja, tulah raja, jampi raja – semuanya tidak dipercayai lagi. Anak-anak muda hari ini tidak lagi gempaq dengan daulat raja – mereka gempaq dengan penyanyi rock n roll. Anak muda hari ini akan gempaq dengan pemain bola, pemusik, pelakon, penggodam internet atau pembawa counter-culture yang melawan arus. Ini hakikat bukan sahaja di Malaysia, malah inilah jalur pemikiran anak muda di seluruh dunia.

Pergi lawati bilik anak muda – tidak mungkin ditemui gambar Sultan, Raja atau Shah di dinding bilik mereka. Besar kemungkinan akan ditemui gambar sebuah kugiran rock, wajah seorang bintang rock atau mungkin poster Che Guevera. Belum pernah ada dalam dunia ini seorang anak muda yang akan bergadai-bergolok untuk mendapatkan baju T gambar seorang raja – tetapi mereka sanggup ke e-bay untuk membida baju arwah John Lennon yang ori. Ini hakikat rasa hormat dan cinta kerana kerana kita telah sampai ke tahun 2009.

Raja Maghribi, Ratu Elizebeth, Sultan Brunei, Raja Abdullah al-Saud atau Sultan Perak - jika tidak kerana protokol – jika pegawai-pegawai kerajaan tidak diarahkan, jika anak-anak sekolah tidak di paksa - dewan akan kosong. Tidak akan ada ramai orang yang datang memenuhi dewan untuk mendengar susuk-susuk ini berucap.

Sampai kiamat pun anak-anak muda tidak akan membayar harga tiket RM200 untuk mendengar mereka membebel. Tetapi anak-anak muda sanggup turun ke Singapura atau naik ke Bangkok untuk mendengar sebuah rock band datang bermain.

Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak harus sedar diri. Pada hari ini tidak ramai lagi orang yang ambil pot kerana nama mereka bermula dengan raja. Inilah hakikat tahun 2009.

Masyarakat kota tidak lagi mencari makan daripada hasil tanah. Mereka memburuh. Mereka membanting tulang di kilang dan di pabrik. Apabila mereka meninggalkan tanah, berhijrah ke bandar bererti mereka telah memutuskan hubungan dengan budaya feudal.

Masyarakat kota melahirkan budaya mereka sendiri – budaya dan gaya hidup yang tidak lagi bergantung kepada raja atau sultan. Dalam budaya urban, sistem feudal tidak memainkan peranan.

Memang ada wujud kumpulan-kumpulan yang masih menganggap kaum feudal itu wajib dihormati kerana darah keturunan mereka. Kumpulan ini mereka yang ingin menahan gerak dan arus pembudayaan dunia moden hari ini. Malah di Perancis, sebuah negara republik, masih ada warga yang cuba membawa kembali sistem beraja. Mereka bernostalgia terhadap zaman feudal yang telah terkambus masa.

Di Tanah Melayu juga masih ada kumpulan dan gerombolan yang percaya dengan "daulat" raja. Sebenarnya, usaha ini wujud kerana kepentingan ekonomi mereka bergayut dengan kaum feudal. Mereka ingin memastikan yang kepentingan ekonomi mereka akan dapat dipayungi oleh kaum feudal. Justeru, mereka sanggup membeli derajat kebesaran agar mereka dapat juga dilihat "besar".

Hakikatnya - kumpulan dan gerombolan pro-feudal ini dari sehari ke sehari semakin berkurangan. Pengurangan kumpulan dan gerombolan ini bukan dirancang. Pengurangan ini muncul dengan sendiri kerana asas ekonomi telah berubah.

Dalam konteks asas ekonomi kapitalis moden, keupayaan individu dinobatkan bukan kerana darah keturunan. Barack Obama, Micheal Jackson atau Colin Powell berada di tempat mereka hari ini bukan kerana mereka cucu kepada Raja Buganda dari Afrika tetapi kerana fikrah dan keilmuan mereka. Inilah hakikatnya.

Kenyataan ini bukan bermakna kita tidak menghormati Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak. Sebagai sesama insan, kita wajib menghormati satu sama lain. Kita juga wajib beradab dan bersopan terhadap mereka. Penghormatan, adab sopan yang kita tunjukkan kepada mereka bukan kerana mereka raja. Mereka berhak menerima penghormatan daripada kita jika mereka memiliki tingkat keintelektualan dan fikrah yang unggul. Penghormatan yang ikhlas dan sukarela tidak berpenghujung dan tidak bernoktah. Seperti Che Guevera, zaman berzaman susuk ini akan terus dimuliakan walau telah lama mati. Tidak seperti Mahathir yang terpaksa membebel untuk dihormati.

Atau seperti Ghazali Shafie atau Muhamad Rahmat yang seperti tunggul, pergi tersepak dan pulang terlanggar.

Kesetiaan kepada upah, bukan Raja!

Pada satu ketika dahulu, hampir kesemua manusia Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu meletakkan taat setia mereka kepada Raja dan Sultan. Ketika itu, manusia Melayu bergantung hidup dengan bercucuk tanam. Sistem feudal – yang bertaat setia kepada raja dan sultan - hanya berakar umbi dengar subur dalam dunia pertanian.

Hari ini Malaysia telah berubah menuju ke arah negara perindustrian. Mata pencarian warganya tidak lagi hanya bergantung dengan bercucuk tanam. Daripada angka bancian, ekonomi negara kita kini terbahagi dua, 50 peratus untuk pertanian dan 50 peratus lagi industri.
Kebergantungan kepada sawah dan ladang makin berkurangan.

Justeru semakin kukuh dan meluas ekonomi perindustrian, maka semakin longgar dan kurang taat setia warga kepada Sultan dan Raja. Inilah hukum alam yang tidak ada sesiapa yang dapat mengubahnya.Manusia Melayu tradisional sama seperti bangsa-bangsa pertanian yang lain dalam dunia ini yang akan menunjukkan taat setia kepada sesiapa sahaja yang dinobatkan sebagai raja dan yang dirajakan. Kesetiaan kaum tani Melayu tradisional terhadap Raja dan Sultan bukan tidak bersebab, malah ada sebab musababnya.

Taat dan setia ini muncul kerana punca ekonomi. Keperluan ekonomilah yang menjadikan manusia Melayu setia kepada Raja dan Sultan.Manusia Melayu setia kepada Undang, Raja atau Sultan kerana susuk-susuk yang telah dinobatkan ini dapat menjamin keselamatan mereka untuk bercucuk tanam. Susuk-susuk ini memiliki juak, pendekar atau balaci yang mengikut arahan. Balaci-balaci ini juga setia kepada Raja atau Sultan kerana kepentingan ekonomi. Taat setia timbul kerana mereka mendapat habuan dan diberi makan oleh Undang, Raja atau Sultan.

Dalam masyarakat Melayu tradisional, ekonomi mereka hanya berhuma dan bercucuk tanam secukup hidup. Tidak wujud nilai ringgit, dinar atau dolar. Ekonomi yang bersandarkan duit dan dinar hanya muncul kemudian apabila datangnya kapal dan jong peniaga-peniaga dari negeri Atas Angin. Apabila kuasa kolonial Inggeris sampai, maka muncul satu lagi kuasa yang memiliki kudrat yang lebih besar daripada kuasa Raja-raja Melayu. Dalam sekelip mata, struktur feudal Melayu berubah. Kuasa kolonial British memperkenalkan sistem ekonomi yang menggunakan nilai ringgit dengan lebih meluas. Pengenalan ini terus membunuh dan mengalih asas ekonomi sistem pertanian feudal kepada sistem ekonomi kapitalis.

Hukum dan syarat ekonomi kapitalis menjadikan Raja atau Sultan Melayu dengan rela hati untuk bertaat setia kepada Baginda Queen. Taat setia ini samalah seperti manusia Melayu bertaat setia kepada Raja Melayu – kerana ekonomi. British memberi duit makan kepada Raja-raja Melayu.

Keselamatan Raja dan Sultan dijaga oleh senapang dan meriam British yang kuasa ledaknya beribu kali lebih hebat daripada lembing dan keris juak-juak istana.

Apabila British berundur, struktur ekonomi kapitalis telah berkembang luas. Buruh dari China dan India telah menetap di Tanah Melayu. Mereka datang untuk memburuh. Kaum imigran ini telah terputus daripada sistem feudal tanah tumpah darah mereka. Kesetiaan mereka pastilah kepada tuan empunya ladang getah atau taukeh lombong. Jika tuan empunya ladang atau lombong gagal menjaga ekonomi mereka, maka taat setia mereka akan beralih kepada kesatuan buruh yang akan mempertahankan hak-hak mereka. Kepimpinan kesatuan buruh ini dipilih oleh mereka sendiri. Sultan atau Raja tidak wujud, malah begitu asing dalam budaya kaum buruh imigran.

Perkembangan sistem ekonomi kapitalis di Tanah Melayu juga memaksa manusia Melayu menjual tenaga mereka untuk mencari makan. Mereka berbondong-bondong meninggalkan kampung kerana tarikan peluang untuk bekerja di bandar. Budaya bandar bukan lagi bersetia kepada Undang, Raja atau Sultan. Di bandar, sesiapa membayar upah maka dialah yang akan mendapat kesetiaan itu.

Perubahan budaya Melayu ini berlaku juga di semua rancangan penerokaan tanah Felda. Mungkin ada yang silap faham kerana di Felda kelihatan ekonominya masih menggarap bumi dengan bercucuk tanam. Betul, memang peneroka Felda menggarap tanaman tetapi bercucuk tanam untuk barangan eksport bukan untuk ditanam dan makan sendiri.

Justeru manusia Melayu di Felda kini telah menjadi buruh pertanian – sama seperti buruh India di estet Inggeris pada suatu ketika dahulu. Peneroka Felda kini telah terikat dalam sistem ekonomi kapitalis global.Dalam masa yang sama manusia-manusia Melayu di Felda telah tercabut dari akar umbi budaya kampungnya. Peneroka didatangkan daripada pelbagai wilayah dan negeri - ertinya mereka terputus kesetiaan kepada struktur kepimpinan kampung tradisional. Akhirnya di kawasan Felda muncul struktur kepimpinan baru – kepimpinan yang akan muncul bukan kerana derajat atau keturunan tetapi dipilih dan diundi.

Datuk Undang, Raja atau Sultan semakin tidak memainkan peranan ekonomi untuk manusia Melayu. Malah kaum feudal sendiri mula bergantung dengan kaum pemodal kapitalisme. Kerana ini kita selalu mendengar cerita-cerita lawak bagaimana Raja atau Sultan Melayu, untuk mencari makan, terpaksa menjual gelaran Datuk kepada taukeh-taukeh. Lihatlah betapa merosotnya nilai kaum feudal Melayu.

Harus disedari bahawa peranan Raja-raja Melayu menjaga agama dan adat-istiadat Melayu ini hanya diwujudkan dan dilembagakan oleh British. Peranan ini dilembagakan untuk memastikan kepentingan ekonomi kolonial tidak diganggu-gugat.

Jika kita membaca kitab dan menyelidiki sejarah Melayu lama, kita akan dapat melihat bahawa peranan Sultan atau Raja ini amat minimal dalam budaya Melayu. Peranan sebagai ‘pelindung agama’ tidak wujud langsung.

Dalam Islam, pemimpin agama dipilih bukan melalui darah keturunan tetapi daripada mereka yang bertakwa. Malah manusia Melayu telah melihat gaya hidup Raja atau Sultan Melayu ini amat bertentangan dengan falsafah agama Islam itu sendiri.

Semenjak 1957, manusia Melayu telah mula berkumpul dalam badan politik moden. Organisasi politik ini telah berjaya dan diyakini untuk menjadi punca ekonomi manusia Melayu.

Justeru manusia Melayu telah berkampung di bawah United Malays National Organisation - ini kerana mereka dapat mencari makan. Sekali lagi terbukti kesetiaan muncul kerana keperluan ekonomi.

Justeru apabila United Malays National Organisation melupuskan kekebalan Raja-raja Melayu pada 1993, tidak banyak tentangan dan rintangan datang daripada manusia Melayu. Kekebalan Raja ini dilupuskan kerana kuam feudal ini dilihat sedang menjadi penghalang untuk perkembangan kepentingan ekonomi kapitalis.

Manusia Melayu melihat punca ekonomi mereka akan lebih terjaga di bawah payung United Malays National Organisation dan bukan daripada kaum feudal Melayu. Sekali lagi, membuktikan bahawa kepentingan ekonomi manusia Melayu telah melintasi mitos cinta setia tidak derhaka kepada Raja atau Sultan.

Kebelakangan ini tiba-tiba kita mendengar kembali suara-suara untuk mengembalikan kekebalan Raja-raja Melayu. Seruan ini tidak menghairankan – pada satu ketika dahulu orang yang sama juga telah berkempen untuk melupuskan kekebalan ini.

Hari ini mereka ini mengembalikan kekebalan Raja Melayu. Kenapa?Jawabnya, bukan kerana mereka sedang dilamun cinta buta kepada Raja dan Sultan tetapi kerana punca ekonomi mereka semakin mengecil dan ada yang telah hilang dapur. Mereka berharap Sultan dan Raja (yang mereka tongengkan dahulu) akan menjadi benteng untuk mempertahankan kepentingan ekonomi mereka.

Ekonomilah yang melahirkan budaya bangsa. Punca ekonomi orang Melayu telah berubah justeru kesetiaan mereka juga akan turut sama berubah. Manusia Melayu tidak mungkin lagi akan menyembah buta kepada Raja atau Sultan. Zaman itu telah berakhir. Mengundurkan manusia Melayu kembali ke zaman feudal adalah mustahil. Mewarta dan mengaktakan pelbagai bentuk undang-undang agar manusia Melayu kembali setia kepada Raja dan Sultan juga amat mustahil. Tetapi perangai dan tingkah laku Raja dan Sultan boleh berubah jika mereka memiliki kesediaan untuk mempertahan dan menyebelahi kepentingan orang ramai.